Wednesday, September 18, 2024
22.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 pelajar terima Biasiswa KHEU diraikan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Seramai 24 pelajar diraikan dalam Majlis Doa Kesyukuran sempena Penganugerahan Biasiswa Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) bagi Sesi Akademik 2024/2025 anjuran KHEU melalui Jabatan Pengajian Islam, di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Menurut kenyataan KHEU, seramai 19 pelajar akan melanjutkan pengajian ke luar negara, di mana daripada jumlah tersebut, 16 pelajar akan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar, Republik Arab Mesir, dalam pelbagai bidang termasuk Sarjana Muda Syariah Islamiyyah, Usuluddin, Bahasa Arab, serta Takhassus Al-Quran Wal Qiraat.

    Manakala, seorang pelajar akan melanjutkan pengajian ke Monash University, Australia dalam bidang Sarjana Muda Terapi Pekerjaan, seorang ke Universiti Malaya, Malaysia dalam bidang Sarjana Muda Al-Quran dan Al-Hadith, serta seorang lagi ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dalam bidang Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Arab sebagai Bahasa Kedua (TASL). Selain itu, lima pelajar turut menerima biasiswa Skim Khas A-Level untuk melanjutkan pengajian di Sekolah Antarabangsa Jerudong.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan, diikuti dengan ucapan daripada Pengarah Pengajian Islam, Haji Shamshol bin Haji Omar, sebelum diteruskan dengan tayangan video dan upacara penyampaian Surat Penganugerahan Biasiswa oleh tetamu kehormat kepada para pelajar yang diraikan. Majlis diakhiri dengan bacaan Doa Kesyukuran, dipimpin oleh Awang Mohammad Zamery bin Haji Nayan.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan; Setiausaha Tetap KHEU, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) KHEU, Awang Misle bin Haji Abdul Karim; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) KHEU, Dr Haji Hardifadhillah bin Haji Mohd Salleh; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, Profesor Madya Dr Abdul Nasir bin Haji Abdul Rani; serta para pegawai kanan KHEU.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bergambar ramai bersama para pelajar yang diraikan di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyempurnakan penyerahan biasiswa kepada para pelajar yang diraikan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda