Monday, October 28, 2024
31.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 pemenang kuiz Majlis Ilmu dirai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Seramai 24 pemenang telah menerima hadiah utama sumbangan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) pada Majlis Penghargaan dan Penyampaian Hadiah Pemenang Kuiz Majlis Ilmu 2024 sempena Sambutan Perayaan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 Tahun bertempat di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB).

    Selain itu, tiga pemenang bertuah telah menerima tiga tiket penerbangan serta penginapan tiga hari dua malam sama ada di Kuala Lumpur, Bangkok dan Jakarta.

    Hadir menyampaikan hadiah dan sijil penghargaan berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku tetamu kehormat majlis.

    Majlis terdahulu dimulakan dengan ucapan penghargaan daripada Timbalan Menteri (Sekuriti dan Undang-undang), di JPM, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Seminar Majlis Ilmu 2024, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu.

    Beliau antara lain menekankan kepentingan kerjasama dan sokongan daripada pelbagai pihak sama ada pihak kerajaan mahupun bukan kerajaan sehingga mampu menjayakan perlaksanaan Majlis Ilmu 2024 dengan lancar dan sempurna.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bergambar ramai bersama para pemenang kuiz Majlis Ilmu 2024. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Dato Seri Paduka Haji Sufian berkata bahawa acara telah dimulakan dengan Majlis Perasmian Majlis Ilmu 2024 pada 18 September lalu di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.

    Majlis perasmian itu juga diselajurkan dengan pelancaran dua buah buku bertajuk Menyambut Hari Keputeraan Raja Dengan Semangat Ilal Hijrah yang dihasilkan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia Dr Ustaz Haji Awang Abdul Aziz bin Juned, dan buku Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Doa dan Zikir hasil kerjasama pihak Kementerian Kesihatan dan Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

    Sebanyak 300 naskhah buku bertajuk Amalan Penjagaan Kesejahteraan Minda dan Emosi: Buku Doa dan Zikir telah dicetak hasil tajaan BIBD dan telah diedarkan kepada orang ramai, selain versi digital yang boleh dimuat turun melalui kod QR yang disediakan.

    Majlis perasmian seterusnya diikuti dengan acara Forum Perdana Majlis Ilmu 2024 pada 19 September dan Ceramah Perdana Majlis Ilmu 2024 pada 21 September di tempat yang sama.

    Turut diadakan Pameran Majlis Ilmu 2024 selama dua minggu yang memberi peluang kepada orang ramai untuk mengetahui maklumat-maklumat mengenai kesihatan mental yang bertepatan dengan tema Majlis Ilmu tahun ini, Menangani Gejala Mental.

    Acara seminar dan Forum Daerah-daerah Majlis Ilmu 2024 juga berjaya dilaksanakan dengan lancar dan teratur bermula 1 hingga 24 Oktober di keempat-empat daerah dengan menyaksikan acara-acara tersebut mendapat sambutan dari agensi-agensi yang dijemput dan juga penyertaan orang ramai.

    Selain menjadi platform untuk perkongsian ilmu dan maklumat yang bermanfaat berkaitan kesihatan mental, acara seminar dan forum turut diisikan dengan pelbagai aktiviti ilmiah seperti kuiz kahoot dan kuiz hadiah utama yang menjanjikan hadiah-hadiah menarik termasuk tiket penerbangan ke Bangkok, Jakarta dan Kuala Lumpur, pelbagai barangan elektronik, kupon membeli belah dan hadiah korporat tajaan BIBD.

    Majlis diakhiri dengan penyampaian cenderamata kepada tetamu kehormat yang disampaikan oleh Pengarah Urusan BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda