24 Penulis Muda diraikan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Seramai 24 orang peserta Bengkel Penulisan Sajak diraikan dalam Majlis Penutup Program Penulis Muda 2020 (Bengkel Penulisan Sajak) yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Berakas, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta ialah Pemangku Pengarah DBP, Awang Suip bin Haji Abdul.

Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin dalam ucapannya selaku pengerusi Program Penulis Muda menjelaskan, program berkenaan banyak memberi kesedaran kepada masyarakat umum terutama golongan muda.

Menurutnya, program telah memberi ruang kepada seorang peserta yang kurang upaya menunjukkan minat dalam penulisan sastera.

“Ini satu perkembangan yang baik kerana dalam jangka pendek program ini telah berjaya memberigakan kepada khalayak masyarakat terutama golongan muda bagi melibatkan diri dalam kegiatan sastera yang dikelolakan oleh DBP,” ujarnya.

Beliau menambah, perkembangan lain di mana majalah Bahana bermula keluaran Mac – April 2020 telah memuatkan satu ruangan khas bagi penulis muda iaitu ruangan Suara Penulis Muda yang memuatkan sajak dan cerpen bagi menampung hasil karya sastera khususnya sajak dan cerpen daripada penulis muda, terutama alumni peserta program berkenaan.

“Hal ini merupakan satu pengiktirafan dan peluang kepada para peserta bengkel kerana sebenarnya bukan senang bagi penulis mendapatkan tempat untuk hasil karyanya terpilih dan dapat dimuatkan dalam majalah Bahana,” jelasnya.

Sehubungan itu, peserta bengkel disarankan untuk merebut peluang penulisan sama ada yang berbentuk peraduan atau kegiatan-kegiatan sastera yang diungkayahkan oleh DBP setiap tahun.

Awang Suip menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta Program Penulis Muda 2020 pada majlis penutup yang berlangsung di Balai Sarmayuda, Dewan Bahasa dan Pustaka, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Bahyiah Bakir