BANDAR SERI BEGAWAN, 9 OKT – Seramai 24 orang peserta Program Pembangunan Ek-sekutif bagi Pegawai-pegawai Kanan Kerajaan (EDPSGO) telah mengikuti latihan sehari yang dilaksanakan oleh Huawei Technologies (Brunei) sebagai sebahagian daripada EDPSGO ke-28 yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan kerjasama Universiti Teknologi Brunei (UTB).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan UTB, tatkala Brunei bergerak lebih dekat ke arah transformasi digital, latihan bertajuk ‘Inovasi Ekonomi dan Industri Digital di bawah Gelombang ICT’ itu direka bagi para peserta mempunyai pemahaman lebih baik mengenai trend perkembangan teknologi-teknologi ICT baharu (seperti Internet mudah alih, pengkomputeran Cloud, Data Besar dan kecerdasan buatan), bagaimana ia menembusi setiap peringkat ekonomi dan masyarakat serta bagaimana untuk merealisasikan pertumbuhan ekonomi menerusi inovasi industri bagi industri tradisional.
Kenyataan menyatakan, latihan difasilitasikan menerusi platform dalam talian oleh Konsultan Kanan dan Pemudah Cara Pembelajaran dari Huawei, Simon Tsang yang memperkenalkan mengenai ekonomi digital sebagai bentuk ekonomi baharu dan pembangunan sosial berikutan ekonomi pertanian dan ekonomi perindustrian.
Terdahulu, latihan yang diadakan di Bilik Fawaz, Kompleks Perpustakaan UTB itu telah dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies di Brunei, Kevin Zhang Jianwei.
Manakala itu, ia diakhiri dengan lawatan maya Galileo Exhibition Hall di mana para peserta dapat mengalami sendiri simulasi realiti maya (VR), yang dihoskan oleh pakar-pakar dari Ibu Pejabat Huawei di Shenzhen, mengenai teknologi-teknologi utama ICT.
Menurut kenyataan, satu latihan serupa oleh Huawei bagi 25 orang peserta Program Pembangunan Eksekutif bagi Pegawai-pegawai Pengurusan Pertengahan (EDPMMO) ke-29 juga akan dijalankan pada 5 November depan.