Saturday, November 16, 2024
29.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 warga asing disiasat

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 MEI – Seramai 24 warga asing telah ditahan dan dibawa ke Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang (BPU) Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK) bagi siasatan semasa tujuh operasi yang dijalankan dari 15 Mei hingga 24 Mei lalu.

    Menurut kenyataan BPU JIPK Bandar Seri Begawan itu, Operasi SAKAT JIPK telah menyasarkan bilik-bilik sewa dan rumah-rumah sewa di beberapa buah kawasan mukim di Daerah Temburong pada 15 Mei lalu.

    Dalam pemeriksaan di dua buah rumah sewa di Pekan Bangar, Mukim Bangar, pegawai penguat kuasa telah memeriksa tujuh lelaki warga asing yang berada di tempat berkenaan dan kesemua warga asing itu telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK.

    Sementara itu, semasa pemeriksaan di rumah sewa di Kampung Seri Tanjong Belayang, Mukim Bangar, lima warga asing telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK bagi siasatan lanjut dan salah seorang warga asing berkenaan dilaporkan sebagai pekerja lari daripada majikan.

    Manakala itu, Operasi SAKAT JIPK 58/2023 pada 17 Mei lalu dan Operasi SAKAT JIPK 60/2023 pada 22 Mei, pegawai penguat kuasa telah membuat pemeriksaan di sebuah kedai roti di Mukim Berakas dan di Tamu Kianggeh di mana hasil pemeriksaan telah mendapati dua lelaki warga asing melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja dengan menggunakan pas lawatan sosial.

    Petugas imigresen semasa menjalankan Operasi SAKAT di Tamu Kianggeh. – Gambar serahan JIPK

    Semasa Operasi SAKAT JIPK 61/2023 pada 23 Mei, pegawai penguat kuasa telah menyasarkan pemeriksaan sebuah rumah di Mukim Gadong di mana hasil pemeriksaan dua warga asing telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK bagi siasatan lanjut.

    Manakala itu, dalam Operasi SAKAT JIPK 61/2023 pada 23 Mei, pemeriksaan menyasarkan dua lokasi kedai runcit di Kampung Jangsak dan Sengkurong di mana hasil pemeriksaan mendapati tiga perempuan warga asing ditahan dan dibawa ke BPU JIPK bagi siasatan lanjut serta dipercayai melakukan kesalahan di bawah Peraturan 15(3) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu tidak mengikut jawatan yang tertera di dalam pasport.

    Dalam Operasi SAKAT JIPK 64/2023 pada 23 Mei, pegawai penguat kuasa menyasarkan sebuah kedai runcit di Kampung Kiulap di mana hasil pemeriksaan mendapati tiga perempuan warga asing gagal mengemukakan dokumen yang sah di mana mereka telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK bagi siasatan lanjut.

    Manakala itu, dalam Operasi SAKAT JIPK 65/2023 pada 24 Mei, pegawai penguat kuasa telah menyasarkan pemeriksaan ke atas sebuah rumah di Jalan Kebangsaan Lama, Kampung Sungai Akar di mana dua warga asing telah ditahan dan dibawa ke BPU JIPK bagi siasatan lanjut dan salah seorang daripada mereka melakukan kesalahan di bawah Peraturan 9(4) Peraturan Imigresen Penggal 17 iaitu bekerja dengan menggunakan pas lawatan sosial.

    Sebarang aduan bolehlah menghubungi talian Hotline JIPK di talian 8734888 dan 8753888.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda