Monday, December 23, 2024
22.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    24 warga China dihantar pulang ke negara asal

    TAWAU, 30 OKT – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang 24 warga China ke negara asal melalui penerbangan secara terus dari Lapangan Terbang Tawau ke Guangzhou, China, semalam.

    Pengarah JIM Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata mereka yang berumur antara 31 hingga 64 tahun itu ditahan di Depot Imigresen di sini, diusir menerusi program pemindahan tahanan pendatang tanpa izin selepas didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963. 

    “Sebanyak 20 tahanan dikenakan hukuman bayaran kompaun masing-masing RM10,000 dan diusir pulang ke negara asal manakala empat lagi individu hanya dikenakan tindakan usir pulang ke negara asal mengambil kira faktor usia lanjut tahanan terbabit.

    “Statistik pemindahan warga asing melibatkan pengangkutan udara setakat tempoh 10 bulan ini sahaja ialah 256 individu termasuk 34 warga China,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

    Selain itu, Sh Sitti Saleha berkata pihaknya turut merekodkan 98 penghantaran pulang tahanan di Depot Imigresen di Sabah melibatkan pemindahan 6,873 individu melalui pengangkutan laut serta udara.

    Beliau berkata program pemindahan tahanan itu dapat dilaksanakan dengan baik berikutan kerjasama serta komitmen pihak kedutaan tahanan terbabit.

    Sementara itu, beliau turut mengingatkan kepada majikan di negeri ini yang menggaji pekerja asing agar memastikan pekerja berkenaan memiliki pas lawatan kerja sementara (PLKS) untuk bekerja di Sabah.

    “Individu yang memegang pas lawatan sosial bagi tujuan melancong diminta tidak menyalahgunakan pas bagi tujuan lain atau tinggal lebih masa di negara ini kerana boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk disenaraihitamkan,” katanya. – Bernama

    Datuk SH Sitti Saleha bercakap semasa sidang media pada 29 Januari lalu. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda