24,000 hadir konsert Siti Nurhaliza, Judika di Stadium Merdeka
Lebih 24,000 penonton hadir menyaksikan Konsert The Journey of Sound: Judika & Datuk Seri Siti Nurhaliza yang berlangsung di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada malam Sabtu lalu.
Bertemakan putih dan denim, peminat terhibur dengan gabungan dua penyanyi hebat itu yang mempersembahkan lebih 30 lagu secara solo, duet dan medley.
Antara lagu dinyanyikan oleh Siti ialah Bukan Cinta Biasa, Kesilapanmu Keegoanmu, Hati Kama, Balqis dan Sejarah.
Judika pula mendendangkan lagu Bukan Rayuan Gombal, Jadi Aku Sebentar Sahaja, Bagaimana Kalau Aku Tidak Baik Baik Saja dan Putus atau Terus.
Manakala mereka berduet menerusi lagu Kisah Ku Inginkan, Bukan Dia Tapi Aku dan Wajah Kekasih.
Sementara itu, Faizal Tahir pula membuka pentas menerusi tiga lagu popularnya.
Siti dalam ucapannya meluahkan rasa teruja dapat menghimpunkan lebih ramai peminatnya dan bersyukur atas sokongan diberikan oleh mereka.
“Nampak putih semua. Sebelum ini di Axiata Arena boleh memuatkan 12,000 penonton tapi di sini 24,000 penonton. Terima kasih semua yang hadir dan terus memberikan sokongan,” katanya.
Antara detik menarik sepanjang konsert berkenaan adalah Siti dan Judika diarak mengelilingi stadium menggunakan kereta sport sebelum muncul di atas pentas sebelum persembahan bunga api berskala besar diadakan untuk menceriakan konsert.
Semua penonton konsert diberikan gelang LED membuatkan persembahan lebih menarik dengan kerlipan cahaya seragam daripada kerusi penonton.
Selain berhibur, dua peminat bertuah juga membawa pulang sebuah kereta jenama BMW dan sebuah skuter.
