Sunday, January 26, 2025
26.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    242 juta kanak-kanak alami gangguan pendidikan

    NEW YORK, 24 JAN – Cuaca ekstrem menyebabkan gangguan besar terhadap pendidikan di seluruh dunia pada 2024, dengan kira-kira 242 juta pelajar di 85 negara terlepas sesi pembelajaran akibat gelombang haba, ribut, banjir dan kemarau, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

    Menurut Tabung Darurat Kanak-Kanak Antarabangsa Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Khamis, kejadian cuaca ekstrem menyumbang kepada penutupan sekolah dan gangguan operasi, dengan gelombang haba menjadi ancaman paling serius terhadap pendidikan.

    “Tahun lepas, cuaca buruk menyebabkan seorang daripada tujuh pelajar tidak dapat hadir ke sekolah, menjejaskan kesihatan dan keselamatan mereka serta memberi kesan kepada pendidikan jangka panjang,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF, Catherine Russell.

    Negara yang paling terjejas akibat gangguan berkaitan iklim terhadap persekolahan termasuk Afghanistan, Bangladesh, Mozambique, Pakistan dan Filipina.

    Menurut analisis itu, 74 peratus daripada pelajar yang terjejas tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana rendah, walaupun tiada wilayah yang terkecuali daripada kesan kejadian iklim ekstrem.

    Asia Selatan menjadi rantau paling teruk terjejas dengan 128 juta pelajar terkesan. Di Asia Timur dan rantau Pasifik, 50 juta pelajar menghadapi gangguan, manakala Afrika mengalami akibat dahsyat fenomena iklim El Niño, termasuk banjir di Afrika Timur dan kemarau teruk di beberapa bahagian Afrika Selatan.

    Di Eropah, hujan lebat dan banjir mengganggu pembelajaran lebih 900,000 pelajar di Itali pada September, manakala banjir pada Oktober menjejaskan 13,000 kanak-kanak dan remaja di Sepanyol, menurut UNICEF.

    “Pendidikan adalah antara perkhidmatan yang paling kerap terganggu akibat bahaya iklim.

    Namun, ia sering diabaikan dalam perbincangan dasar meskipun memainkan peranan penting dalam menyediakan kanak-kanak menghadapi penyesuaian iklim. – Bernama

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda