Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Seramai 243 pelajar perempuan Sanah 6 Sekolah Arab Raja Isteri Pengiran Anak Damit (SA RIPAD) diraikan dalam satu Majlis Khatam Al-Quran anjuran sekolah berkenaan bertempat di Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam pagi tadi.
Meraikan para pelajar di Majlis Khatam Al-Quran antara lain bertujuan untuk melahirkan rakyat celik Al-Quran dan menjadikan pembacaan Al-Quran sebagai satu amalan dan budaya ke arah mendukung hasrat negara untuk melahirkan Generasi Al-Quran dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai Negara Zikir.
Hadir selaku tetamu khas majlis ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.
Majlis berkenaan dimulakan dengan bacaan Selawat Tafrijiyyah dan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang diketuai oleh tetamu khas sebelum diteruskan dengan Doa Sebelum Membaca Al-Quran dan seterusnya bacaan surah-surah lazim oleh para peserta.
Majlis kemudiannya disambung dengan bacaan Takhtim dan diikuti dengan bacaan Doa Khatam serta persembahan Dikir Marhaban.
Penyampaian sijil khatam disempurnakan oleh tetamu khas sebelum majlis diakhiri dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Doa Selamat dibacakan oleh Awang Haji Zulkhairi bin Haji Brahim.
Majlis berkenaan merupakan acara kemuncak bagi Program Hubbul Quran, iaitu program yang dilaksanakan oleh sekolah berkenaan bagi menggalakkan pembacaan Al-Quran sebagai budaya dan amalan dalam kehidupan seharian para pelajar.
