Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    244 individu, 78 syarikat dikompaun sepanjang 2024

    Oleh Sim Y. H.  –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Seramai 244 individu dan 78 syarikat telah dikenakan tindakan kompaun dengan jumlah keseluruhan $111,200 oleh Bahagian Pengawalan dan Penguatkuasaan Bandar, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (JBBSB), dalam Operasi Bersih sepanjang tahun 2024.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan JBBSB, di sini, individu dan syarikat berkenaan didapati melakukan kesalahan di bawah Bab 12 Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian (Pindaan) 2021, Penggal 30 iaitu membuang sampah di tempat awam dan tanah lapang.

    Berdasarkan pindaan di bawah Akta Kesalahan-kesalahan Rampaian Pindaan 2021, Penggal 30, kadar kompaun bagi mana-mana individu atau badan korporat yang dikeluarkan kompaun bagi kesalahan di bawah Bab 12 atau mana-mana kesalahan bagi individu, denda kompaun tidak melebihi $1,000 dan denda kompaun tidak melebihi $2,000 bagi badan korporat.

    Bagi kesalahan yang dilakukan individu atau badan korporat yang gagal membayar kompaun dan diambil tindakan melalui mahkamah, hukuman bagi mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah bab ini, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada $1,000 dan tidak melebihi $3,000 bagi kesalahan pertama.

    Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak kurang daripada $3,000 dan tidak melebihi $9,000, penjara tidak melebihi enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

    Sampah yang ditemui semasa Operasi Bersih dilaksanakan. – GAMBAR SERAHAN JBBSB
    GAMBAR SERAHAN JBBSB

    Manakala bagi badan korporat yang melakukan kesalahan pertama, denda tidak kurang daripada $2,000 dan tidak melebihi $10,000 akan dikenakan.

    Bagi kesalahan kedua atau berikutnya, denda tidak kurang daripada $10,000 dan tidak melebihi $30,000, penjara tidak melebihi 12 bulan, atau kedua-duanya sekali.

    Dalam kes-kes berkenaan, individu dan syarikat yang terlibat dikehendaki menjelaskan kompaun masing-masing di Bahagian Kewangan, Tingkat 3, Bangunan JBBSB, Jalan Perdana Menteri, dalam tempoh tujuh hari.

    Sementara itu, dari awal Januari hingga 23 Januari 2025, lima individu dan sembilan syarikat telah dikenakan kompaun berjumlah $12,600 atas kesalahan di bawah akta yang sama.

    Operasi yang dijalankan itu turut melibatkan beberapa buah agensi kerajaan termasuk Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan, Jabatan Buruh, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar serta beberapa buah agensi penguatkuasaan lain.

    Jabatan berkenaan mengingatkan semua individu serta pemilik atau penyewa bangunan supaya bersama-sama memelihara keindahan, kebersihan, keselamatan dan kesejahteraan Bandar Seri Begawan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda