Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    2,474 bekas ahli GISBH sertai program pemulihan MAIS

    SHAH ALAM, 4 MEI – Seramai 2,474 bekas ahli GISB Holdings (GISBH) termasuk 1,410 kanak-kanak menyertai program pemulihan akidah di bawah kendalian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

    MAIS dalam kenyataan hari ini memaklumkan Program Insan Rabbani itu dijalankan bermula 15 Februari lepas hingga Ogos 2025 melibatkan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

    “Program itu meliputi fasa pemulihan serta fasa pemantapan dan pengukuhan yang masing-masing berjalan selama enam bulan.

    “Ia seterusnya diikuti fasa pascapemulihan serta fasa pemantauan dan khidmat sokongan,” menurut kenyataan itu.

    Selain itu, MAIS telah melaksanakan Program Pemulihan Akidah bagi kanak-kanak GISBH pada September hingga Disember tahun lepas.

    “MAIS juga bekerjasama dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menganjurkan Program Rehabilitasi Sukarela Ahli GISBH membabitkan tujuh peserta dari negeri ini dan 11 peserta dari Johor pada 7 November 2024 hingga 4 Februari lepas,” menurut kenyataan itu. – Bernama

    Program pemulihan akidah itu dijalankan di bawah kendalian MAIS. – Gambar Ihsan Majlis Agama Islam Selangor
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda