Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 APRIL – Majlis Perundingan Kampung (MPK) merupakan sebuah platform rasmi yang diwujudkan untuk menjadi penghubung antara masyarakat kampung dan pihak berkepentingan.
Di samping itu, ia juga membantu menyelaras keperluan pembangunan dan kesejahteraan penduduk serta merancang, melaksanakan program dan aktiviti yang bermanfaat kepada seluruh warga kampung.
Menurut Pemangku Ketua Kampung Kawasan 3 Perumahan Negara (PN) Lambak Kanan, Haji Mahir bin Mohd Yusof, MPK ialah sebuah badan yang memainkan peranan besar dalam menjaga keharmonian, kebajikan dan kemajuan kampung secara menyeluruh.
Beliau menyuarakan perkara tersebut dalam ucapan alu-aluannya semasa Majlis Penyampaian Sijil Lantikan Ahli Jawatankuasa dan Sijil Penghargaan MPK Kawasan 3 PN Lambak Kanan yang berlangsung di kediaman beliau hari ini.
Hadir untuk menyempurnakan penyampaian sijil lantikan kepada para ahli MPK yang baharu ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Daud bin Jihan.
Dalam ucapan alu-aluannya lagi, Haji Mahir menyatakan barisan ahli jawatankuasa MPK yang baharu itu, memikul tanggungjawab yang besar untuk terus memacu pembangunan kampung dan mengangkat martabat komuniti mereka.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan amanah kepada para ahli yang dilantik serta percaya dengan semangat kerja berpasukan dan ikhlas berkhidmat, mereka dapat terus maju bersama.
Di samping itu, Haji Mahir turut mengongsikan antara aktiviti utama yang akan dan telah diadakan termasuk gerai Ramadan dan gerai harian di mana ia memberi peluang kepada penduduk berniaga, menjana pendapatan sampingan dan sebagai satu inisiatif ekonomi setempat.
Selain itu, lawatan keluar negeri juga akan diadakan di mana ia bertujuan untuk memperkaya pengalaman dan pendedahan kepada ahli MPK serta penduduk yang terlibat dalam konteks pelancongan komuniti atau lawatan sambil belajar untuk meninjau kaedah pengurusan kampung yang berjaya di tempat lain.
Majlis berkenaan menyaksikan penyampaian sijil lantikan dan sijil penghargaan kepada kira-kira 25 orang penerima yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Haji Daud.