Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Seramai 25 orang anak-anak yatim daripada keluarga warga Pusat Pembangunan Belia (PPB), Champion 7 dan anak-anak yatim dari Kampung Salambigar telah menerima sumbangan pada Majlis Kasih Ramadan kali ke-4 bagi tahun 2025 yang diadakan bersempena bulan Ramadan 1446.
Majlis berkenaan dianjurkan oleh PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dan Badan Kebajikan Champion 7, Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP).
Hadir selaku tetamu kehormat, dan seterusnya menyerahkan sumbangan dan sedekah kepada anak-anak yatim ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), KKBS, Haji Zakaria bin Haji Serudin. Sumbangan derma juga disampaikan oleh Support Lead Champion, BSP, Haji Emran bin Haji Othman
Majlis Kasih Ramadhan ini mula diperkenalkan pada tahun 2019 sebagai wadah bagi warga pusat berkenaan dan orang ramai untuk sama-sama meraih berkah dalam bulan Ramadan.
Selain itu, projek itu juga diharap dapat mengeratkan lagi silaturahim warga PPB dengan rakan-rakan strategik PPB yang ikut serta dalam menjayakan projek amal ini.
Pada tahun ini, warga PPB telah menyediakan sumbangan ‘Mini Hamper Kasih PPB’ yang dicipta khas bagi setiap anak yatim sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.
Antara kandungan hamper mini tersebut ialah kek dan biskut hasil produk PPB sendiri dan juga makanan asasi sumbangan daripada warga PPB dan orang-orang persendirian. Majlis diteruskan dengan bacaan tahlil arwah diselajurkan dengan berbuka puasa dan solat Maghrib, solat Isyak dan tarawih berjemaah.