Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Seramai 112 orang belia lepasan kursus pemanduan jentera berat yang terdiri daripada anak-anak tempatan memperoleh pekerjaan dalam bidang tersebut, meningkatkan lagi jumlah pekerja tempatan dalam bidang yang kebanyakannya didominasi oleh warga asing.
Walaupun jumlah itu dilihat masih sedikit semenjak kursus itu dilaksanakan dalam 2012, namun ia menunjukkan bahawa belia sudah pun menerima apa juga jenis pekerjaan atau kerjaya yang memberikan mereka peluang untuk keluar daripada kebiasaan.
Pemangku Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Awang Haswandi bin Haji Osman berkata demikian ketika ditemui wartawan pada Majlis Penyampaian Sijil Kursus Pemandu Jentera Berat ke-6 dan penandatanganan kontrak pengambilan bekerja di antara peserta kursus dengan syarikat pengusaha jentera berat hari ini di Dewan Pusat Pembangunan Belia di ibu negara.
Hadir menyampaikan sijil dan menyaksikan penandatangan kontrak itu ialah Pengarah Pentadbiran dan Kewangan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Amiruddin bin Haji Mohammad Hassan.
Seramai 25 orang belia menerima sijil dan menandatangani kontrak pekerjaan pada majlis itu.



Menurut Awang Haswandi lagi, kursus bermula 28 Julai sehingga 16 Disember 2016 itu memberi peluang kepada pelatih untuk menjalani latihan pemanduan pelbagai jenis kenderaan berat secara intensif sehingga berjaya mendapat lesen memandu kelas 4,5,6, 2 dan 11.
Kursus itu merupakan pendekatan usaha sama dalam perancangan dan pelaksanaan tenaga di antara PPB, Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Jabatan Tenaga dan Perindustrian melalui Program Industry Competency Framework (ICF) ini juga dilihat menambahkan keberkesanan kepada usaha pihak kerajaan mengurangkan pengangguran di negara ini.
Ia secara tidak langsung membasmi masalah kemiskinan di negara ini, sekali gus melahirkan lebih ramai tenaga kerja berkemahiran dalam kalangan anak-anak tempatan, tambahnya.
Strategi berlandaskan sinergi dan rakan kongsi dalam pengendalian kursus seumpama ini, jelasnya bukan saja memberikan kemahiran yang relevan dan diiktiraf tetapi turut memastikan pelatih mendapat pekerjaan sebaik saja selepas menamatkan kursus mereka.
Beliau turut menyeru agar pencari kerja di negara merebut peluang yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dalam meningkatkan kemahiran dan kualiti diri dalam apa jua bidang kemahiran berdasarkan kehendak pasaran pekerjaan di negara ini khususnya dalam sektor swasta dan secara tidak langsung mengurangkan kadar pencari kerja di negara ini.
Majlis tersebut turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada Pengiran Abdy Musshaddad bin Pengiran Haji Mohd Jaafar sebagai pelatih contoh untuk kursus kali ini.