Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Seramai 25 orang mara ke peringkat akhir Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya setelah berjaya melalui peringkat separuh akhir yang telah berakhir hari ini.
Keputusan berkenaan diumumkan semasa Majlis Pengumuman Keputusan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Separuh Akhir Kebangsaan Tahun 1445 Hijrah yang berlangsung di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pentadbiran dan Kewangan) di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Awang Misle bin Haji Abdul Karim.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Musabaqah, Pengiran Dr Haji Amiruddin bin Pengiran Haji Damit dalam ucapan alu-aluannya pada majlis itu antara lain menjelaskan, penyertaan peserta musabaqah tahun ini meningkat iaitu seramai 306 orang yang telah mendaftar berbanding pada tahun lepas hanya seramai 255 orang sahaja.
“Peningkatan yang amat ketara itu menunjukkan orang-orang Brunei telah menyedari bahawa Al-Quran itu sebagai petunjuk dan pedoman bagi kehidupan di dunia dan untuk bekalan di akhirat kelak,” jelasnya.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/02/P6-3A_16022024.jpg)
Katanya lagi, musabaqah pada tahun ini melibatkan kanak-kanak, murid-murid dan remaja di institusi pendidikan, pegawai serta kakitangan dari agensi kerajaan dan swasta termasuk orang-orang persendirian dengan pelbagai peringkat masyarakat di negara ini.
“Pembudayaan menghafaz Al-Quran itu adalah untuk berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikan hafazan sebagai satu rutin dan amalan harian dengan harapan dapat menambah lagi golongan penghafaz Al-Quran di negara ini,” tambahnya.
Acara diteruskan dengan pengumuman keputusan musabaqah separuh akhir oleh Pengerusi Jemaah Hakim Musabaqah, Awang Mohamad Hashim bin Haji Abdullah.
Ini diikuti dengan penyampaian cenderamata dan sijil kepada para peserta musabaqah dan hakim-hakim musabaqah oleh tetamu kehormat.
Antara objektif musabaqah adalah untuk menggalakkan umat Islam di negara ini agar berjinak-jinak mencintai Al-Quran melalui hafazan dan menjadikannya sebagai amalan harian.
Ia juga bertujuan bagi menambahkan lagi para huffaz di negara ini, di samping mendapatkan pahala dan ganjaran daripada Allah SWT serta mendorong serta membantu para peserta dan orang ramai memahami maksud yang terkandung dalam Al-Quran antaranya, fakta-fakta surah, nasihat, pengajaran dan hukum-hukum tajwid.