LUCKNOW, INDIA, 30 MEI – Kira-kira 25 orang maut selepas meminum alkohol bertoksik di utara India, kata polis hari ini.
Polis telah menangkap 10 lelaki kerana menjual minuman keras itu di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India.
“Setakat ini, 25 orang telah mati dan beberapa lagi dimasukkan ke hospital dan menjalani rawatan. Seramai 10 orang telah ditangkap,” kata Ajab Singh, seorang jurucakap polis memberitahu AFP.
Media tempatan melaporkan minuman keras itu dibeli pada Khamis dari sebuah kedai milik dua beradik lelaki.
Kedai minuman keras di negeri itu telah ditutup di bawah perintah sekatan pergerakan koronavirus bagi membendung gelombang penularan. Kira-kira 160,000 orang meninggal dunia di seluruh negara itu sejak 1 April. – AFP