DAMSYIK, 26 Feb – Serangan udara oleh gabungan kumpulan anti-pengganas yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) ke atas sebuah kawasan di wilayah timur Syria, Deir Al-Zour telah membunuh 25 orang awam, menurut sebuah kumpulan pemerhati hari ini.
Serangan udara itu menyasarkan kawasan kecil Islamic State (IS) yang terakhir di tebing timur Sungai Euphrates semalam, kata Balai Cerap Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Kumpulan pengawas yang berpusat di London berkata tujuh orang daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak. Sementara itu, agensi berita Syria, SANA, berkata 29 orang terbunuh dan puluhan yang lain cedera akibat serangan udara yang diketuai AS di bandar Shufeh dan Zahrat Aloni di pedalaman timur Deir Al-Zour.
Manakala menurut AFP, serangan udara oleh tentera gabungan itu dilancarkan di kampung Al-Shaafah, bekas benteng pertahanan IS, utara Albu Kamal dekat sempadan dengan Iraq.
Minggu lepas, SANA berkata 15 orang awam terbunuh dari serangan udara yang diketuai AS pada Deir Al-Zour.
Tentera gabungan yang dipimpin oleh AS itu telah menyokong Pasukan Demokrasi Syria (SDF) yang diketuai Kurdis dalam usaha mereka untuk menghalau IS dari tebing timur Euphrates, di mana ladang minyak dan gas utama berada. Dalam proses itu, berpuluh-puluh orang awam telah terbunuh akibat serangan udara oleh tentera gabungan di utara dan timur Syria. – Xinhua/AFP