Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    25 pelajar asah kemahiran pengaturcaraan dalam bengkel BKCC

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 NOV – Seramai 25 pelajar menyertai Bengkel Istimewa, Brunei Kids Can Code (BKCC) bagi menandakan ulang tahun pertama program Dynamik Tress yang berlangsung di Universiti Brunei Darussalam hari ini.

    Bengkel yang dianjurkan oleh Dynamik Tchnologies dengan kerjasama Institut bagi Penyelidikan Alam Sekitar dan Biodiversiti (IBER), Universiti Brunei Darussalam (UBD), mengetengahkan sesi praktikal yang menggabungkan pembelajaran digital dan kesedaran alam sekitar.

    Menggunakan teknologi Micro:bit, para peserta berpeluang membina sebuah sistem penyiraman tumbuhan automatik yang mengesan kelembapan tanah dan mengaktifkan penyiraman apabila diperlukan, menghubungkan konsep pengekodan dengan aplikasi kemampanan praktikal.

    Selepas bengkel berkenaan, Penolong Naib Canselor (Penyelidikan, Inovasi dan Kemampanan), Universiti Brunei Darussalam, Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi dan Ketua Korporat dan Perkhidmatan Dynamik Technologies, Hajah Siti Rozana binti Dato Paduka Haji Md Yunos merasmikan acara memperingati ulang tahun pertama Dynamik Trees, yang meliputi acara penanaman pokok dan lawatan ke taman biodiversiti di Pusat Penyelidikan Botani UBD (UBD BRC).

    Dalam acara itu, BRC UBD telah mendermakan sebatang anak pokok Hopea vacciniifolia manakala Dynamik Technologies pula mendermakan sebatang anak pokok Dipterocarpus borneensis di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Dynamik Trees ‘Adopt-A-Tree’, yang dikhaskan bagi program BKCC.

    Inisiatif itu mencerminkan komitmen bersama untuk memupuk penjagaan alam sekitar dan pembelajaran digital dalam kalangan generasi muda.

    Dilancarkan pada 2024, Program ‘Dynamik Trees’ menyokong pemuliharaan ex-situ lima spesies pokok asli melalui projek ‘Adopt-A-Tree’ dan penanaman 23 anak pokok spesies pokok asli bernilai pemuliharaan tinggi di UBD BRC.

    Kerjasama antara Dynamik Technologies, IBER UBD, dan program BKCC terus mengetengahkan kepentingan menghubungkan teknologi, pendidikan serta tanggungjawab alam sekitar dalam menyokong matlamat pembangunan mampan negara.

    Atas & Bawah: Dr Haji Abdul Hanif dan Hajah Siti Rozana melihat dengan lebih dekat aktiviti yang dilaksanakan oleh para peserta dalam bengkel istimewa BKCC, berkenaan.
    Atas & Bawah: Para peserta yang menyertai bengkel berkenaan, memberikan tumpuan kepada tugasan yang diberikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda