Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Seramai 25 orang yang menduduki dan lulus Ujian Kefasihan Bahasa Jepun (JLPT) bagi Tahap Bahasa N1 hingga N5 menerima sijil masing-masing dan diraikan dalam Majlis Penyampaian Sijil JLPT 2024 yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat dan menyaksikan penyampaian sijil kepada para penerima ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad. Turut hadir ialah Duta Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan serta Kedutaan Jepun dan para penerima sijil yang diraikan.
Pada majlis berkenaan, TYT Kikuta Yutaka dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa bahasa boleh menjadi sebuah platform bagi kita untuk mengenali budaya, sejarah dan masyarakat sesebuah negara itu.
Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan kepada para penerima sijil untuk sentiasa meningkatkan tahap kemahiran berbahasa mereka serta menggunakan bahasa berkenaan supaya ia tidak dilupakan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima yang berjaya lulus dalam ujian dan menggalakkan mereka untuk terus mendalami kemahiran bahasa Jepun.
Pada majlis itu, TYT Kikuta Yutaka menyempurnakan penyampaian sijil kepada para penerima daripada N5 hingga N2 dengan disaksikan bersama oleh Dr Haji Azman.
JLPT ditawarkan olehYayasan Jepun sejak 1984 sebagai kaedah penilaian yang boleh dipercayai dan untuk mengiktiraf tahap kefasihan penguasaan bahasa Jepun oleh para pelajar.
Ia juga ditawarkan kepada mereka untuk mengukur dan mengiktiraf kefasihan bahasa Jepun di mana bahasa tersebut bukan merupakan bahasa ibunda.
Di negara ini, JLPT dilancarkan pada 2008 dan ia diadakan setiap Disember di mana pada 2024, seramai 47 orang telah menduduki ujian JLPT dalam pelbagai tahap kefasihan iaitu dari N1 hingga N5 dengan seramai 25 orang telah lulus dalam ujian berkenaan.
Daripada jumlah 25 itu, seorang telah lulus N2, tujuh lulus N3, enam lagi lulus N4 dan 11 orang lulus N5 dengan Dayang Nurulafifah binti Haji Hassan yang lulus N2 menyampaikan ucapan penghargaan bagi pihak penerima sijil di majlis berkenaan.
JLPT 2025 akan diadakan pada 7 Disember nanti dan permohonan untuk mengambil ujian berkenaan akan dibuka bermula Ogos hingga September nanti.