Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 April – Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) melalui Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS dengan kerjasama Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri telah menyelenggarakan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440H/2019M, bertempat di Dewan Muzakarah, Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, Negara Brunei Darussalam.
Pada tahun ini Jawatankuasa Tertinggi Hari-Hari Kebesaran Islam Peringkat Negara Tahun 1440 Hijrah telah bersetuju dan menetapkan Pasukan Polis Diraja Brunei, Jabatan Perdana Menteri untuk bekerjasama dengan KHEU iaitu melalui Pusat Pengajian Dan Penyebaran Al-Quran MABIMS bagi mengendalikan Musabaqah Menghafaz Al-Quran Berserta Pemahamannya Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1440 Hijrah manakala Bahagian Kemajuan Syi’ar Islam bagi mengendalikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negara Tahun 1440 Hijrah.
Pada tahun ini, seramai 264 orang calon telah mendaftar untuk mengikuti Musabaqah ini, mereka telah disaring melalui peringkat saringan dan separuh akhir dan hasilnya seramai 25 orang peserta telah berjaya mara ke peringkat akhir musabaqah hari ini, dengan menampilkan lima orang peserta bagi kategori ‘A’, lima orang bagi kategori ‘B’, lima orang bagi kategori ‘C’ manakala kategori ‘D’ diwakili oleh lima orang peserta dan akhir sekali kategori ‘E’ lima peserta.
Pada pagi ini, kategori ‘D’ dan kategori ‘E’ akan memperdengarkan hafazan mereka dan diteruskan lagi disebelah petang, kategori ‘B’ dan kategori ‘C’. Manakala kategori ‘A’ akan memperdengarkan hafazan mereka di keesokan harinya pula.
Musabaqah ini bertujuan menyemai dan memupuk rasa cintakan Al-Quran di kalangan umat Islam terutama para belia, remaja dan juga kanak-kanak melalui amalan menghafaz dan memahami isi kandungan Al-Quran. Ianya adalah salah satu wawasan perdana yang berterusan Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
