Thursday, March 13, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    25 rakyat Malaysia mangsa sindiket penipuan selamat pulang

    BUKIT KAYU HITAM, 12 MAC – Seramai 25 lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar telah selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 4:40 petang tadi, menurut Kementerian Luar.

    “Kesemua mangsa telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan lanjut,” kata kementerian itu, sambil menyatakan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memudah cara penghantaran pulang mangsa.

    “Mereka merupakan sebahagian daripada warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi pembanterasan sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy,” menurut Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

    Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah melakukan lawatan konsular ke Myawaddy di Wilayah Kayin, Myanmar bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia sebelum mereka diserahkan kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

    “Pegawai-pegawai ini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak, Thailand, untuk menguruskan kepulangan mereka melalui jalan darat,” katanya.

    Menurut Wisma Putra, bantuan konsular menyeluruh telah diberikan oleh kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia, termasuk menghubungi waris, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam, Kedah. – Bernama

    Gambar bertarikh 24 Februari 2025 menunjukkan seramai 15 warganegara Malaysia berjaya dibawa pulang dan tiba di ICQS Bukit Kayu Hitam. – Bernama

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda