Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 APRIL – Seramai 25 orang Rakan Seliaan (RS) bersama keluarga telah menerima bantuan makanan asasi bagi keperluan bulan Ramadan dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri, hari ini.
Sumbangan yang dihulurkan oleh Aftercare Support Association (AFSA), Pusat Reintegrasi dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI) itu telah disampaikan oleh Timbalan Yang Di-Pertua AFSA, Haji Awang Mustapa bin Haji Masri.
Majlis didahulukan dengan bacaan Sayyidul Istighfar dan Surah Al-Fatihah sebelum diisikan dengan tazkirah mengenai kelebihan Surah Yasin yang disampaikan oleh Pegawai Pelajaran Ugama, PDI, Haji Badaruddin bin Haji Besar.
Selepas itu bacaan Surah Yasin beramai-ramai diadakan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pusat Reintegrasi, Pengiran Roslinawati binti Pengiran Haji Omar; Penolong Ketua Pusat Reintegrasi, Awang Sabtu bin Haji Abdul Ghani, ahli-ahli AFSA serta pegawai-pegawai Pusat Reintegrasi dan PDI.



