Wednesday, September 11, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    25 sertai lawatan penyelidikan ke Guangxi, China

    Oleh Syahmi Hassan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 11 OKT – Seramai 16 kakitangan Syarikat Pelabuhan Muara Sdn Bhd (MPC) dan sembilan pelajar pascasiswazah daripada program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Brunei Darssalam (UBD SBE) telah berlepas ke Guangxi, China, hari ini, bagi lawatan penyelidikan selama lapan hari.

    Lawatan itu adalah usaha kerjasama untuk menyokong pendidikan dan memupuk hubungan industri-akademik antara MPC dan UBD SBE yang masing-masing diketuai oleh Ketua Pegawai Operasi MPC, Dayang Fazilah binti Yassin dan Dekan UBD SBE, Dr Haji Masairol bin Haji Masri.

    Lawatan penyelidikan itu sejajar dengan matlamat program MBA, bertujuan untuk meningkatkan kebolehan kepimpinan peserta, melengkapkan mereka dengan kemahiran termaju, menjalin hubungan industri, mendalami asas pengetahuan dan menyediakan pengalaman praktikal yang relevan dengan objektif program.

    Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MPC, Zeng Caili, lawatan itu juga bertujuan untuk membangunkan modal insan berkualiti sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran rakyat kerana ia penting untuk menggalakkan ekonomi yang berkembang maju bagi menyokong pencapaian Wawasan 2035.

    Jadual perjalanan untuk lawatan sambil belajar itu merangkumi lawatan ke beberapa pelabuhan termasuk Pelabuhan Automatik Antarabangsa, Kilang Tenaga Suria, Syarikat Teknologi Separuh Konduktor, Kampus Universiti Guangxi.

    Objektif utama lawatan berkenaan adalah untuk menyediakan pelajar dan ahli akademik dengan pemahaman langsung tentang operasi pelabuhan antarabangsa, pembuatan, pengeluaran, penyelidikan dan pembangunan serta ekosistem perniagaan di Guangxi, China.

    Ia memberikan peluang unik kepada pelajar untuk menyaksikan dan menggunakan teknik operasi serta pengurusan kepada senario dunia sebenar.

    Pengalaman itu nanti akan mendedahkan pelajar kepada persekitaran kerja sebenar, membolehkan mereka merapatkan jurang antara konsep teori dan aplikasi praktikal dalam domain masing-masing.

    Rombongan dari MPC dan UBD SBE bergambar ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei sebelum berlepas ke China. – Gambar serahan UBD
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda