Wednesday, February 19, 2025
22.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    25 terima sijil audit komoditi tanaman

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 FEB – Latihan Pensijilan Audit Pemeriksaan Komoditi Tanaman berkaitan Langkah-langkah Biosekuriti dan Keselamatan Makanan melabuh tirainya dengan penyampaian sijil kepada 25 peserta yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan Bahagian Biosekuriti dan Akses Pasaran, Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Pihak Berkuasa Makanan Brunei Darussalam (BDFA), serta Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe).

    Latihan pensijilan anjuran Bahagian Biosekuriti dan Akses Pasaran, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) itu telah diadakan pada 10 hingga 15 Februari lalu di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP.

    Penyampaian sijil kepada para peserta kursus telah disempurnakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap II, KSSUP, Dayang Noralinda binti Haji lbrahim.

    Latihan tersebut bertujuan memperkukuh peranan pihak berkuasa bagi memantau perkembangan industri dan mempersiapkan para pengusaha industri bukan sahaja untuk pertumbuhan domestik tetapi juga untuk kesiapsiagaan eksport.

    Latihan berkenaan melengkapkan para peserta dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal sebagai juruaudit bagi Amalan Pertanian Baik Brunei (BGAP) bagi komoditi tanaman.

    Gambar ramai peserta yang mengambil bahagian dalam latihan yang diadakan di Dewan Setia Pahlawan, KSSUP. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI
    Dayang Noralinda menyampaikan sijil kepada salah seorang peserta. – GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Sebagai juruaudit BGAP, mereka akan memainkan peranan penting dalam menilai ladang pertanian bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan kebersihan, alam sekitar dan keberkesanan hasil pertanian.

    Dengan adanya latihan ini, ianya diharap dapat menangani kebimbangan yang semakin meningkat mengenai keselamatan dan kualiti makanan produk pertanian, sekali gus memastikan pengguna mendapat akses kepada makanan yang selamat dan berkualiti tinggi.

    Sebagai penanda aras bagi kualiti dan keselamatan produk-produk hasil pertanian di negara ini, rangka kerja BGAP memastikan pematuhan terhadap amalan terbaik dalam sektor pertanian dan pengeluaran makanan. Ini bukan sahaja menjamin pengeluaran makanan yang lebih selamat tetapi juga meningkatkan daya saing sektor pertanian negara di peringkat serantau dan global.

    Inisiatif itu mengukuhkan usaha strategik kementerian dalam memastikan pembangunan sektor pertanian yang mampan serta menyokong agenda kepelbagaian ekonomi dan keselamatan makanan negara, selaras dengan Wawasan Brunei 2035.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda