KUCHING, 27 FEB – Sebanyak 250 acara dimasukkan ke dalam Kalender Pelancongan Sarawak tahun ini berbanding 248 tahun lepas, kata Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.
Beliau berkata seperti tahun sebelumnya, negeri itu terus mengekalkan acara utama seperti Regata Sarawak dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia, yang menjadi produk dan tarikan utama.
“Selain itu, menerusi Festival Makanan anjuran Majlis Bandaraya Kuching Selatan yang mempamerkan budaya masyarakat tempatan yang dianjurkan selama dua minggu yang menarik ribuan pengunjung akan diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pelancongan Sarawak di sini hari ini.
Abdul Karim berkata pada tahun ini Sarawak menyasarkan kedatangan lima juta pengunjung ke negeri itu, selepas merekodkan kehadiran 4.8 juta pengunjung tahun lepas.
Beliau berkata pada tahun lepas lebih 150,000 pengunjung direkodkan dari Brunei setiap bulan dan kehadiran mereka telah memberi impak positif kepada pekan dan bandar berdekatan sempadan seperti Limbang, Lawas serta Miri.
“Selain itu, pengunjung dari Indonesia turut menunjukkan minat yang tinggi, dengan Kuching semakin dikenali sebagai destinasi menarik yang wajib dilawati,” katanya. – Bernama
