Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Majlis Khatam Al-Quran bagi Guru-guru Agama Kawasan Brunei 2B bersempena bulan Ramadan telah diadakan kelmarin di Dewan Serba guna Sekolah Ugama Pengiran Anak Puteri Muta-Wakkilah Hayatul Bokiah, Serusop.
Hadir selaku tetamu khas ialah Pemangku Penolong Pengarah (Profesional), Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Ayop bin Haji Ghani.
Kira-kira 250 orang tenaga pengajar menyertai acara berkenaan yang merupakan aktiviti tahunan anjuran Jawatankuasa Pemimpin Sekolah-sekolah Ugama (JKPSSU) Kawasan Brunei 2B. Ia juga bertujuan bagi mengimarah bulan Ramadan dengan amal ibadah dan mengeratkan lagi silaturahim antara kalangan guru-guru agama.
Majlis Khatam Al-Quran dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh tetamu khas.
Majlis kemudian disusuli dengan bacaan surah-surah lazim dan Doa Khatam.
Acara turut diserikan dengan persembahan dikir yang diselajurkan dengan merenjis minyak wangi. Majlis diakhiri dengan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam.