Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Dalam sama-sama menyelami keindahan bulan suci Ramadan dengan aktiviti berkebajikan, seramai 39 orang kakitangan Standard Chartered (StanChart) Brunei, baru-baru ini, telah bekerjasama dengan Society for Community Outreach and Training (SCOT) untuk menyediakan dan mengagihkan makanan, bersama ibu tunggal di bawah program Komuniti Dapur Sosial SCOT.
Inisiatif sukarelawan telah diselaraskan oleh ahli jawatankuasa Kelab Rekreasi StandChart di mana sukarelawan kakitangan ditugaskan untuk menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk menu hari itu, memasak bersama ibu tunggal yang ditugaskan dan menyediakan pembungkusan makanan.
Sukarelawan kakitangan juga bertanggungjawab menghantar 250 hidangan dimasak kepada golongan keluarga yang memerlukan dari segi sosioekonomi khususnya di kawasan perumahan terpilih di Daerah Brunei dan Muara.
Ketua Hal Ehwal Korporat, Jenama dan Pemasaran, StanChart Brunei, Marilyn Graeme berkata mereka bersyukur kerana dapat menyertai Dapur Sosial di bawah SCOT untuk tahun kedua berturut-turut.
Tambahnya, golongan rakan sekerja yang terlibat menikmati pengalaman menyediakan makanan secara berpasukan dan bekerjasama rapat dengan para ibu tunggal yang ditugaskan untuk aktiviti itu.
Bank StanChart ialah salah satu daripada golongan organisasi yang secara aktif menggalakkan kakitangannya mengambil cuti kerja untuk menjadi sukarelawan dalam komuniti dengan memberikan semua kakitangan tiga hari cuti sukarela pekerja sebagai tambahan kepada cuti tahunan mereka. Dengan 82,000 pekerja di 59 pasaran berbeza, Bank StanChart percaya bahawa inisiatif sukarelawan ini akan memberikan impak positif yang ketara merentasi jejak globalnya.


