Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    250 pindah akibat kebakaran hutan

    ISTANBUL, 17 OGOS – Lebih 250 orang telah dipindahkan berikutan kebakaran hutan di Semenanjung Gallipoli berhampiran Selat Dardanelles, dengan anggota bomba Turkiye turut berusaha untuk memadamkan kebakaran tersebut, menurut pihak berkuasa hari ini.

    Kebakaran yang bermula kelmarin di wilayah barat laut Canakkale itu telah merebak dengan cepat akibat angin kencang di kawasan perbukitan berhampiran bandar Gelibolu.

    “Sebagai langkah berjaga-jaga, 251 penduduk dari lima kampung telah dipindahkan ke kawasan selamat,” tulis Gabenor Canakkale, Omer Toraman, di X.

    Sebuah rakaman video turut menunjukkan bukit-bukau yang diterangi oleh api yang menyala dan kepulan awan asap tebal yang kelihatan menyelubungi udara.

    Menurut Toraman, wilayah itu merupakan antara destinasi popular pelancong yang melawat runtuhan kuno Troy serta medan perang Gallipoli di mana ribuan tentera terkorban semasa Perang Dunia I, mengalami ‘kemarau yang sangat teruk’ sepanjang tahun lalu.

    Seramai 900 anggota, termasuk 12 pesawat dan 18 helikopter, dikerahkan bagi memadam kebakaran hutan yang berterusan sepanjang malam, menurut Jabatan Perhutanan di X.

    Pada Isnin, satu lagi kebakaran di seberang selat memaksa 2,000 orang melarikan diri, dengan kira-kira 80 dirawat akibat terhidu asap.

    Menurut laman web European Forest Fire Information System (EFFIS), terdapat 192 kebakaran hutan di Turkiye tahun ini, yang telah memusnahkan lebih 110,373 hektar tanah. – AFP

    Pesawat pemadam kebakaran menyemburkan air untuk memadam kebakaran di kawasan berhutan di Guzelyeli, pinggir Canakkale, Turkiye, pada 12 Ogos. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda