250 warga KSSUP bertahlil di kubah

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Bersempena dengan bulan Ramadan 1440 Hijrah, seramai 250 pegawai dan kakitangan dari Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) serta jabatan-jabatan di bawahnya telah menghadiri Majlis Bertahlil bagi Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien dan Al-Marhumah Duli Raja Isteri Pengiran Anak Damit di Kubah Makam Diraja, Jalan Tutong, Bandar Seri Begawan, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh KSSUP, hadir mengetuai rombongan di majlis berkenaan ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Apong.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di KSSUP, Pengiran Haji Kamalrudzaman bin Pengiran Haji Mohd Ishak; Timbalan Setiausaha Tetap di KSSUP, Haji Abdul Halidi bin Haji Mohd Salleh; Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pelancongan) di KSSUP, Haji Nazmi bin Haji Mohamad, ketua-ketua jabatan, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan kakitangan KSSUP serta jabatan-jabatan di bawahnya.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah-Al-Fatihah, diikuti dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Awang Muhammad Amin bin Haji Salim.

Majlis yang merupakan aktiviti kementerian berkenaan serta jabatan-jabatan di bawahnya itu diadakan setiap tahun di bulan Ramadan bagi sama-sama meraih ganjaran pahala yang berlipat ganda di bulan yang penuh keberkatan ini.

Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan bersama warga KSSUP bertahlil di Kubah Makam Diraja.