Tuesday, December 31, 2024
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    2,500 benih Siakap dilepaskan ke Sungai Kinabenuwa

    LABUAN, 30 OGOS – Jabatan Perikanan Labuan melepaskan 2,500 ekor benih ikan siakap ke sungai bakau Kinabenuwa hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan bekalan ikan tempatan.

    Inisiatif itu adalah yang pertama dilakukan pada 2024, sebelum ini 2,300 ekor benih ikan siakap dilepaskan ke sungai sama pada Oktober tahun lepas.

    Pengarah Jabatan Perikanan Labuan, Sufian Ahmad berkata pelepasan itu menjadikan jumlah keseluruhan anak benih ikan siakap dilepaskan ke dalam sungai itu ialah 12,650 ekor sejak program berkenaan dimulakan pada 2021.

    “Sungai bakau Kinabenuwa dikenal pasti sebagai lokasi utama pelepasan ini berikutan ekosistem yang sesuai, menyokong pertumbuhan stok ikan di perairan awam,” katanya pada program pelepasan benih ikan itu.

    Selain siakap, Jabatan Perikanan Labuan juga melepaskan kira-kira 12,000 ekor benih ikan kuku (saltwater sea bream) ke Sungai Kinabenuwa antara 2021 hingga 2023.

    Dalam pada itu, Sufian menggesa orang ramai agar bertanggungjawab menguruskan spesies ikan asing yang dibela sebagai haiwan peliharaan.

    “Melepaskan spesies bukan asli ke perairan awam boleh mengganggu ekosistem tempatan kerana spesies asing ini mungkin lebih agresif dan mengatasi ikan asli untuk mendapatkan sumber,” katanya.

    Beliau berkata dari 2016 hingga 2021, Jabatan Perikanan telah melepaskan 44.7 juta ekor benih ikan bernilai lebih RM50 juta ke perairan di seluruh Semenanjung Malaysia, Sarawak, Sabah dan Labuan. – Bernama

    Sufian Ahmad (dua, kanan) menunjukkan benih ikan siakap air masin sempena Program Voluntourism MOTAC di Sungai Kinabenuwa pada 30 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda