Tuesday, April 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    251 pelajar IBTE mulakan pengajian

    Oleh Siti Nur Wasimah S.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Seramai 251 pelajar baru pengambilan Januari 2018 memulakan pengajian di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) dengan menghadiri Majlis Orientasi yang bermula hari ini di Dewan Kuliah, Sekolah Penerbangan, IBTE Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Berakas.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengetua IBTE Pusat, Dr. Sheikh Lukman bin Sheikh Abdul Hamid.

    Dr. Sheikh Lukman dalam ucapannya menyatakan, permohonan untuk memasuki IBTE semakin bertambah dari setahun ke setahun dan dari itu, pihak IBTE telah memperkenalkan semula pengambilan sesi Januari selain pengambilan Julai setelah sekian lamanya ia tidak dijalankan.

    Menurutnya lagi, sebanyak 11 program ditawarkan pada sesi ini iaitu sebanyak tujuh Program Sijil Pendidikan Teknikal Kebangsaan Tertinggi (HNTec) dan empat Program Sijil Pendidikan Teknikal Kebangsaan (Ntec) dari tiga buah sekolah di bawah pengurusan IBTE Pusat.

    “Adalah menjadi misi IBTE untuk mengeluarkan graduan yang berkemahiran tinggi dan boleh bekerja mengikut kehendak industri melalui persekitaran pembelajaran yang holistik, selaras dengan Wawasan Brunei 2035 untuk mempunyai rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya diukur melalui piawaian tertinggi antarabangsa,” jelasnya.

    Dr. Sheikh Lukman ketika menyam-paikan ucapannya semasa majlis orientasi tersebut.
    Para pelajar baru IBTE semasa melaungkan lafaz ikrar mereka semasa majlis orientasi yang diadakan di Kampus Sultan Saiful Rijal, Jalan Berakas, kelmarin.

    Beliau seterusnya menjelaskan, dalam setiap pekerjaan, kompetensi dan kecekapan amatlah diperlukan untuk berkembang secukupnya kerana isi kandungan pengetahuan serta proses dan perkhidmatan pengeluaran kemahiran sentiasa berubah pada setiap masa.

    Menurutnya lagi, cabaran utama bagi setiap negara yang membangun adalah meningkatkan ‘responsiveness’ sistem pendidikan mereka dan pembangunan latihan kemahiran menurut perubahan zaman yang giat berkembang bagi menyahut dan memberikan maklum balas terutama sekali bagi pencari pekerjaan yang timbul daripada krisis kewangan global seperti yang telah berlaku pada tahun 2008 yang lalu.

    Dalam Pelan Transformasi Pendidikan Teknikal dan Vokasional, program-program IBTE telah dikemas kini mengikut keperluan dan piawaian industri bagi melahirkan tenaga kerja yang mempunyai kelayakan dan kemahiran yang diiktiraf oleh industri, di samping meningkatkan peluang pekerjaan dan kepuasan majikan.

    Dr. Sheikh Lukman menambah lagi, di samping kemahiran dan pengetahuan akademik, pelajar-pelajar juga perlu menunjukkan sikap dan personaliti baik yang juga penting bagi mempersiap siagakan diri untuk alam pekerjaan nanti dan berkait rapat dengan kepuasan majikan.

    Menurutnya lagi, sikap yang proaktif, kreatif, berinovatif, bersemangat dan mempunyai daya saing yang kuat adalah antara sikap-sikap yang diingini.

    “Perlu diingat bahawa industri yang ada pada masa kini berkembang pesat terutama sekali dalam perindustrian komersial dan firma-firma, dari itu, adalah penting bagi pelajar-pelajar untuk dapat mengembangkan kepakaran dan pengetahuan mereka dengan secukupnya, dengan mengaut ilmu pengetahuan dari tenaga-tenaga pengajar di sekolah masing-masing, yang berkelulusan tinggi dan pakar dalam bidang masing-masing,” tambahnya.

    Selain itu, tambah beliau, pelajar-pelajar juga diberi kesempatan untuk mengikuti latihan perindustrian selama tiga hingga enam bulan dalam bidang-bidang yang ditawarkan di institut berkenaan, di mana para pelajar akan didedahkan kepada alam pekerjaan atau profesionalisme yang sebenar.

    Beliau berharap para pelajar akan dapat menggunakan peluang yang ada dengan sebaik-baiknya demi mencapai kejayaan. Majlis orientasi yang akan diadakan sehingga 13 Januari itu diisikan dengan pelbagai aktiviti serta taklimat-taklimat daripada pihak kerajaan dan sektor swasta.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda