Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 JULAI – Kaum keluarga dan sanak saudara memenuhi Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan kepulangan kumpulan pertama seramai 252 orang jemaah haji yang selamat kembali ke tanah air pada pukul 8:51 pagi tadi.
Hadir di LTAB bagi mengalu-alukan para jemaah haji ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman serta isteri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) serta isteri; dan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar serta isteri.
Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan berserta isteri; Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Emad bin Abdul Aziz Al-Muhanna; dan Pesuruhjaya Polis, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Kepulangan jemaah haji pada sesi penerbangan berkenaan termasuklah empat orang pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Pentadbiran dan Perubatan), 47 orang pegawai dan jemaah haji dari Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB), 71 orang pegawai dan jemaah haji dari Syarikat Straits Central Agencies (B) Sdn Bhd, 53 orang pegawai dan jemaah haji dari Syarikat Al- Hijrah Travel and Tours Sdn Bhd, 37 orang pegawai dan jemaah haji dari Syarikat At-Taqwa Travel Tours Sdn Bhd, dan 40 orang pegawai dan jemaah haji pula dari Syarikat Titian Travel and Tours Sdn Bhd.
Bagi memberkati kepulangan jemaah haji itu, bacaan Doa Selamat dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.
Antara yang hadir ialah Setiausaha Tetap (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di JPM, Awang Ajman bin Haji Meludin; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim dan isteri; Raes Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB), Dr Haji Adanan bin Haji Basar; serta Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang dan isteri.
Turut tidak ketinggalan hadir bagi mengalu-alukan ketibaan jemaah haji negara ialah para pengarah dan pegawai kanan KHEU serta pengarah-pengarah urusan syarikat pengendali pakej haji.