Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    252 jemaah haji selamat pulang ke tanah air

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Penerbangan pertama yang membawa seramai 252 jemaah haji Negara Brunei Darussalam telah selamat mendarat di tanah air pada pukul 9:14 pagi tadi.

    Rombongan haji yang menaiki Pesawat Diraja Brunei (Royal Brunei) BI 4222 itu termasuk pegawai-pegawai Pejabat Urusan Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam (Perubatan), Syarikat Darussalam Services Sdn Bhd (DSSB) dan Syarikat Straits Central Agencies Sdn Bhd (SCA).

    Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei (LTAB) bagi mengalu-alukan ketibaan jemaah haji ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman dan isteri; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB); Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad selaku Pemangku Menteri Kesihatan dan isteri; serta Duta Besar Istimewa dan Mutlak Kerajaan Arab Saudi ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mohammed Abdullah Al Buraithin.

    Beberapa orang jemaah haji yang sempat ditemui melahirkan rasa syukur kerana telah selesai melaksanakan salah satu rukun Islam itu.

    Hajah Norita binti Haji Abd Hamid yang menunaikan ibadah haji bersama suami dan dua orang anaknya di bawah pakej DSSB, tidak putus-putus meluahkan rasa syukur kehadrat Allah SWT kerana telah dipermudahkan segala urusan semasa berada di tanah suci.

    Manakala itu, Haji Muhammad Nabil Arman bin Haji Naguib menunaikan ibadah haji bersama nenek sebalah ibunya.

    Beliau yang pernah menunaikan ibadah umrah sebelum ini berkata, perasaan teruja itu berbeza dengan perasaan semasa menunaikan Haji.

    “Walaupun adanya cabaran, tetapi ia dapat ditangani dengan sebaik-baiknya,” jelasnya.

    Turut hadir di LTAB ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Seri Paduka Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan dan isteri, Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali dan isteri, setiausaha-setiausaha tetap dan pemangku timbalan setiausaha tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama.

    Doa Selamat dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.

    Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyambut kepulangan jemaah haji negara. – GAMBAR-GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda