IPOH, 18 JUN – Seramai 257 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun menyertai Bazar Junior Perak yang bertujuan memberi pendedahan dan mendidik mereka dalam bidang keusahawanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak Salbiah Mohamad berkata program itu dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Kinta dengan kerjasama kerajaan negeri.
“Penganjuran bazar ini memberikan platform kepada mereka dalam menghasilkan idea-idea inovatif, membuat produk mereka sendiri dan berinteraksi dengan pelanggan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program berkenaan di Ipoh, semalam.
Sementara itu, Presiden JCI Kinta Tan Teck Yin berkata program itu yang kali kedua dianjurkan tahun ini melibatkan 60 reruai menjual pelbagai barangan seperti makanan, minuman dan barangan perhiasan.
Katanya 10 peratus daripada keuntungan hasil jualan akan disalurkan kepada pertubuhan kebajikan.
Zulfarihi Faris Zulkifli, 10, dari Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor di sini berkata dia berasa seronok menimba pengalaman berniaga bersama rakan yang lain.
“Kami menjual buah-buahan, kuah rojak dan minuman. Ini pertama kali saya bersama rakan-rakan berniaga walaupun sedikit penat tetapi seronok apabila ramai orang datang membeli produk yang kami jual,” katanya. – Bernama
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/06/FW1310193_PK01_18062023_BAZAR-1024x683.jpg)