SHENZHEN, 29 Nov – Sejumlah 258 orang pelari didenda kerana menipu dalam satu acara larian Separuh Maraton Shenzhen, menurut para penganjur acara hari ini.
Para penganjur mendapati 18 orang pelari memakai nombor bib palsu, tiga penyamar dan 237 orang penipu, di mana sejumlah besar mereka telah mengambil jalan pintas dalam acara larian hujung minggu lepas itu.
Para pelari yang memakai nombor bib palsu dan mereka yang telah menggunakan penyamar berdepan dengan pengharaman sepanjang hayat dari acara itu, sementara 237 pelari yang lain diharamkan selama dua tahun, menurut satu pengumuman oleh jawatankuasa penganjur.
Satu rakaman video yang diambil oleh kamera trafik pada satu seksyen laluan menunjukkan beberapa orang pelari menyeberangi dari satu jalan ke jalan lain.
Para penganjur berkata para pelari seharusnya terus berlari bagi sekurang-kurangnya satu kilometer sebelum membuat pusingan-U pada hujung jalan, bermakna para pelari yang mengambil jalan pintas telah berlari kurang dua atau tiga kilometer daripada 21 kilometer penuh.
Satu lagi imej yang diambil oleh seorang jurugambar tempatan menunjukkan dua pelari mempunyai dua nombor bib yang sama.
“Kami sangat kecewa dengan pelanggaran peraturan yang terjadi pada acara itu. Maraton bukan hanya sebagai satu senaman, ia adalah metafora kehidupan dan setiap pelari bertanggungjawab atas dirinya sendiri,” jelas pengumuman itu.
Berita itu dengan pantas mencetuskan perbahasan panas dalam kalangan media China dan netizen.
Tajuk utama People’s Daily terpapar ‘Tolong hormati maraton dan semangat kesukanan!’. – Xinhua