Friday, February 7, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    26 maut dilanda ribut, puting beliung di Amerika Syarikat

    WASHINGTON, 2 APRIL – Bilangan kematian akibat sistem ribut besar yang melanda selatan dan timur Amerika Syarikat (AS) dengan angin kencang dan puting beliung yang kuat meningkat kepada sekurang-kurangnya 26 orang, kelmarin, menurut pegawai berkuasa.

    Tennessee, salah satu negeri yang terjejas teruk sejak ribut bermula pada hari Jumaat, awalnya mempunyai tujuh kematian berkaitan cuaca, tetapi kemudian meningkat kepada sembilan, menurut saluran berita berpusat di Memphis, WREG.

    Kebinasaan dapat dilihat di sepanjang laluan yang dibadai oleh puting beliung Tennessee, yang meliuk-liukkan pokok, meranapkan rumah menjadi timbunan papan kayu, dan merobek dinding dari struktur yang masih tegak.

    “Seluruh rumah, awda dapat merasakan ia bergoncang,” kata Janice Pieterick, yang pintu rumah dan tingkap kaca berkecai apabila puting beliung melanda wilayah Lewis.

    “Kita hanya bersiap-siap untuk menghadapinya.”

    Anggota kecemasan berehat selepas membantu penduduk mengosongkan kompleks pangsapuri Calais di Little Rock, Arkansas, baru-baru ini. – AFP

    Jumlah kematian di Tennessee meningkat kepada 17 kematian yang dilaporkan di Arkansas, Mississippi dan Alabama di selatan, Indiana dan Illinois di Midwest, dan Delaware di Atlantik.

    Sistem ribut berkenaan, yang menyebabkan berpuluh-puluh cedera, sedang melanda pantai timur AS pada hari Sabtu, dengan ribut petir, hujan batu dan angin kencang diramalkan hingga lewat Ahad.

    Ia telah menghasilkan beberapa puting beliung, yang berukuran dan berkekuatan luar biasa melanda Arkansas, di mana sekurang-kurangnya lima orang telah terbunuh, kata Gabenor negeri itu.

    Waktu siang mendedahkan kerosakan yang meluas, dengan beberapa rumah terbelah, kereta terbalik, talian elektrik terputus dan pokok tercabut dari akarnya.

    Gabenor, Sarah Huckabee Sanders telah mengisytiharkan darurat dan mengaktifkan pengawal kebangsaan bagi membantu usaha pemulihan.

    Beliau mengatakan dia telah bercakap dengan Presiden AS, Joe Biden, yang berjanji untuk mempercepatkan bantuan persekutuan.

    “Bandar Wynne, di timur laut Arkansas, terbelah dua oleh kerosakan dari timur ke barat,” kata datuk bandar, Jennifer Hobbs kepada CNN.

    Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan telah mengeluarkan amaran puting beliung untuk beberapa negeri lain, dari Iowa di utara hingga negeri Mississippi di selatan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda