Saturday, December 14, 2024
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    26 polis Jerman cedera di festival Eritrea

    BERLIN, 17 SEPT – Polis Jerman melaporkan bahawa puluhan orang, termasuk sekurang-kurangnya 26 pegawai polis, cedera semasa kekecohan yang berlaku di sekitar festival budaya Eritrea di bandar barat daya Stuttgart.

    Beberapa ketika sebelum acara bermula pada petang kelmarin, kira-kira 200 penunjuk perasaan berkumpul di kawasan luar dan mula melempar batu, botol dan benda lain kepada pegawai polis dan peserta acara.

    Enam daripada 26 pegawai polis yang cedera menerima rawatan di hospital, kata polis.

    Empat peserta acara dan dua penunjuk perasaan juga cedera, menurut polis, walaupun maklumat mengenai tahap kecederaan mereka tidak tersedia dengan serta-merta.

    Protes kelmarin adalah yang terbaharu dalam siri kekecohan sekitar acara budaya Eritrea di Jerman dan tempat lain. Pada bulan Julai, perbalahan di festival Eritrea di bandar barat Jerman, Giessen, menyebabkan 22 pegawai polis cedera.

    Perbalahan antara penyokong kerajaan Eritrea dan penentang di Tel Aviv awal September menyebabkan salah satu pergaduhan jalanan yang paling ganas dalam kalangan pencari suaka dan pendatang Afrika di bandar itu dalam ingatan baru-baru ini.

    Acara kelmarin dianjurkan oleh beberapa kumpulan yang dianggap rapat dengan kerajaan Presiden Eritrea, Isaias Afwerki.

    Ribuan orang telah melarikan diri dari Eritrea ke Eropah, di mana keba-nyakannya mendakwa dianiaya oleh kerajaan Afwerki yang menindas. Konflik sekitar perhimpunan seperti semalam menunjukkan jurang yang mendalam dalam kalangan diaspora Eritrea, di mana ada yang masih setia kepada kerajaan dan yang lain melarikan diri untuk hidup dalam buangan dan menentang keras Afwerki.

    Timbalan Presiden Polis Stuttgart, Carsten Hoefler, kelmarin mengutuk tindakan penunjuk perasaan dan menyatakan bahawa ‘keganasan tidak jelas sebelumnya.’ Pihak berkuasa bandar menyatakan bahawa tidak ada sebab untuk melarang perhimpunan tersebut sebelumnya, namun mereka akan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengelak kekecohan serupa di masa hadapan. – AP

    Seorang lelaki dibawa pergi oleh pegawai polis di Stuttgart, Baden-Wurttemberg, Jerman pada 16 September. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda