26 premis wang kripto disyaki curi elektrik diserbu

SEPANG, 12 OGOS – Sebanyak 26 premis yang disyaki terdapat aktiviti mata wang kripto di sekitar Daerah Sepang diserbu dalam satu operasi bersepadu hari ini kerana disyaki “mencuri elektrik” melalui penyambungan haram.

Operasi yang diketuai Suruhanjaya Tenaga (ST) itu turut disertai unit Special Engagement Against Losses (SEAL) Tenaga Nasional Bhd (TNB), Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Bercakap kepada pemberita di lokasi operasi yang awal di Sunsuria City di sini,  Ketua Pegawai Operasi  ST, Abdul Rahim Ibrahim berkata premis-premis yang diserbu disiasat jika melakukan apa-apa perbuatan yang menyalahi Akta Bekalan Elektrik 1990.

Antaranya ialah kesalahan di bawah  Seksyen 37(1) iaitu mengganggu pepasangan elektrik yang boleh menyebabkan bahaya dan Seksyen 37(3) iaitu mengambil bekalan elektrik secara curang dan merosakkan pepasangan elektrik yang menyebabkan bekalan elektrik tidak direkodkan, katanya.

Menurut pegawai TNB yang menyertai operasi itu, aktiviti mencuri elektrik di premis mata wang kripto  melalui penyambungan secara haram antaranya menyebabkan bil yang dicatatkan hanya RM30 sedangkan  penggunaan elektrik bulanan sebenarnya mencecah RM30,000. – Bernama

Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga (ST), Abd Rahim Ibrahim memeriksa meter elektrik ketika melakukan operasi bersepadu, kelmarin. – Bernama