Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Seramai 26 orang pemilik BMW Motorrad telah membuat perjalanan selama dua hari ke Miri, Sarawak, Malaysia untuk menyertai Miri Bike Week 2023, baru-baru ini.
Perjalanan sejauh 300 kilometer (km) itu dianjurkan oleh BMW Motorrad Brunei, QAF Auto Sdn Bhd.
Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Alisa Khoo dipetik berkata, mereka menganjurkan acara seumpamanya untuk menghubungkan pemilik dan menikmati pengembaraan bersama-sama.
“Kami gembira melihat pemilik BMW Motorrad berkumpul dan mengambil bahagian secara aktif. Perjalanan berkenaan tidak akan menggembirakan tanpa penglibatan mereka.
“Kami menghargai sokongan dan kerjasama mereka seperti biasanya. Berkongsi semangat bersama-sama meningkatkan empati dalam kalangan kita. Menjadikan hidup sebagai perjalanan melalui inisiatif dan kerjasama sentiasa menjadi ke-ghairahan kami,” tambahnya.

Miri Bike Week 2023 yang meraikan ulang tahun ke-10 pada tahun ini menghimpunkan pelbagai jenama dan rangkaian motosikal dengan persatuan-persatuan dari negara lain, dan negeri lain di Malaysia turut mengambil bahagian untuk mempamerkan dan berkongsi minat mereka terhadap motosikal.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, BMW Motorrad telah menandakan kewujudannya selama lima tahun di Brunei dengan lebih daripada 100 unit motosikal BMW Motorrad kini berada di jalan raya di negara ini.
Rangkaian model baharu akan dikeluarkan pada penghujung tahun ini dan tahun hadapan yang akan cuba dibawa masuk seawal mungkin.

