Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 31 JULAI – Seramai 26 pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya telah menerima pingat kehormatan sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada majlis yang berlangsung di Dewan Bertabur, Bangunan Kementerian Pembangunan, Jalan Pembangunan, hari ini.
Hadir menyempurnakan penyampaian pingat berkenaan kepada para penerima ialah Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid.
Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Infrastruktur, Perumahan dan Profesional), Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria; Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan Guna Tanah dan Alam Sekitar), Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh; Timbalan Setiausaha Tetap (Industri Pembinaan dan Kemajuan), Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub; Ketua Pengarah Kerja Raya, ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan Jabatan-jabatan di bawahnya.
Pengurniaan Pingat Kerja Lama (PKL) tersebut adalah sebagai tanda pengiktirafan dan penghargaan kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada pegawai-pegawai dan kakitangan atas jasa serta sumbangan kerja yang telah diberikan sepanjang berkhidmat di Kementerian Pembangunan dan juga di jabatan masing-masing.