Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JAN – Seramai 264 pelajar baharu Politeknik Brunei (PB) Pengambilan Ke-14, yang terdiri daripada 141 pelajar perempuan dan 123 pelajar lelaki telah menghadiri Minggu Orientasi bagi sesi Januari 2025.
Minggu Orientasi Tahun Akademik 2024/2025 anjuran PB itu berlangsung selama empat hari bermula dari 7 hingga 10 Januari di Dewan Serbaguna, Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Lambak Kanan.
Hadir selaku tetamu kehormat di majlis itu adalah Pemangku Pengarah, Pengiran Dr Saiful Baharin bin Pengiran Haji Duraman.
Dalam ucapan alu-aluannya, kehadiran pelajar amat ditekankan apabila beliau mengatakan, “kehadiran yang kurang daripada 85 peratus akan mengakibatkan seseorang pelajar itu gagal sesuatu modul pada akhir semester, atau menjejaskan peluang pelajar berkenaan untuk memperolehi sijil Diploma di akhir pengajian nanti”.
Selain itu, beliau menyarankan supaya pelajar komited dan tekun untuk belajar kerana garis panduan pensijilan hanya membolehkan pelajar untuk mengulang satu modul yang sama satu kali sahaja di sepanjang kursus.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar yang telah berjaya meneruskan pembelajaran bagi Sesi Januari 2025, Tahun Akademik 2024/2025 bagi lapan buah program Level 5 Diploma di empat buah sekolah di bawah PB.
Beliau juga berharap pelajar dapat mengambil kesempatan untuk mendekati, memahami dan menghayati sistem pengajaran dan pembelajaran serta sistem pentadbiran dan pengurusan yang dijalankan di PB.
Acara kemuncak Minggu Orientasi pada pagi itu dimulai dengan nyanyian Lagu Kebangsaan yang diketuai oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) PB dan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti oleh Doa Selamat.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Penolong Pengarah (Korporat, Perancangan dan Perkembangan), Penolong Pengarah (Pengetua), Penolong Pengarah (Akademik), Ahli-ahli Senat, Ahli-ahli Jawatankuasa Penyelenggara, Pegawai-pegawai dan kakitangan PB.
Majlis juga menyaksikan bacaan lafaz ikrar oleh pelajar-pelajar baharu yang diketuai oleh Awang Muhammad Ahza Syahmi bin Suhailon, pelajar Diploma Level 5 in Cloud Networking.
Antara lain tujuan utama majlis orientasi berkenaan adalah untuk memperlihatkan penyertaan serta kerjasama dan juga mengeratkan hubungan antara pelajar dan pihak pentadbiran serta kakitangan PB.
Minggu Orientasi pada tahun ini diisikan dengan program, taklimat dan aktiviti yang dapat membantu para pelajar untuk mengenali PB dengan lebih mendalam dan memberikan gambaran tentang kehidupan sebagai pelajar PB.
Dengan adanya aktiviti-aktiviti tersebut, ianya diharapkan dapat membantu pelajar-pelajar menjalani pengajian dan kehidupan yang produktif dan inovatif selama pembelajaran mereka di Politeknik Brunei.
Majlis Orientasi berkenaan diselenggarakan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan MPP PB dengan kerjasama pihak berkenaan dari Pusat Pembelajaran Sepanjang Hayat, Lambak.