Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Negara Brunei Darussalam terus mencatatkan sifar jangkitan baharu COVID-19, mengekalkan jumlah jangkitan kepada 141 orang.
Sementara itu, terdapat 409 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori di pusat-pusat pemantauan yang disediakan oleh kerajaan, terdiri daripada mereka yang baru tiba ke negara ini setelah melakukan perjalanan dari luar negara.
Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Menurutnya lagi, setakat ini, seramai 2,696 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori di kemudahan-kemudahan berkenaan.
“Dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 404 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 29,111 ujian.
“Manakala, berkenaan dengan ujian swab COVID-19 bagi mereka yang telah tiba selepas mengikuti penerbangan dari United Kingdom baru-baru ini, kesemua keputusan bagi penumpang penerbangan tersebut adalah negatif,” kongsi Yang Berhormat Dato.
Berhubung aplikasi BruHealth, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menjelaskan bahawa setakat ini seramai 403,837 ahli telah mendaftar ke dalam aplikasi tersebut.
Bagi syarikat dan premis pula sejumlah 10,839 telah mendaftar. Manakala, berkenaan aplikasi PremiseScan pula, sejumlah 5,907 telah dimuat turun oleh 4,254 premis perniagaan.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.