Sunday, March 16, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    27 graduan cemerlang dirai

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Seramai 27 orang graduan di bawah Skim Biasiswa Kerajaan ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) peringkat ijazah sarjana muda tahun 2022 telah diraikan pada Majlis Anugerah Graduan Cemerlang 2023 di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, hari ini.

    Hadir pada majlis anjuran Kementerian melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Haji Mohd Azrol Alim bin Haji Zaini dari Jabatan Hal Ehwal Masjid diikuti ucapan alu-aluan oleh Pemangku Ketua Jabatan Pengurusan Biasiswa, Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim.

    Dalam ucapannya, Dayang Rosimah Sumaimah antara lain mengongsikan bahawa 27 orang graduan telah pun memperoleh Kepujian Kelas Pertama dari universiti-universiti di United Kingdom, Australia dan Malaysia.

    “Daripada 27 orang, 14 graduan adalah di bawah Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Luar Negeri dan 13 orang di bawah SBPP,” kata beliau.

    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah bergambar ramai bersama para penerima sijil pada majlis yang berlangsung di berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyampaikan sijil dan plak kepada penerima pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan, kelmarin. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Gambar oleh Ak Zaki Kasharan
    Antara yang hadir pada majlis tersebut. – Gambar oleh Ak Zaki Kasharan

    Acara diteruskan dengan ucapan daripada Awang Ahmad Zakwan bin Haji Mohd Salleh sebagai wakil graduan diikuti dengan penyampaian plak dan sijil pencapaian kepada graduan-graduan oleh tetamu kehormat.

    Majlis berakhir dengan bacaan Doa Selamat.

    Majlis ini bertujuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap usaha para graduan dalam mencapai kelulusan yang cemerlang.

    Di samping itu, ia juga bertujuan menjadi inspirasi dan galakan kepada pelajar-pelajar lain agar lebih bersemangat untuk meraih kejayaan dalam pengajian mereka.

    Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan dan kakitangan Kementerian Pendidikan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda