Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 28 SEPT – Pejabat Ekonomi dan Budaya Taipei hari ini menghargai jasa para guru dengan penyampaian anugerah kepada seramai 27 orang guru dari lapan buah sekolah Cina di seluruh Brunei.
Hadir menyampaikan anugerah ialah wakil Pejabat Ekonomi dan Budaya Taipei, Andrew Lee.
Penerima anugerah adalah para guru yang telah lama berkhidmat di sekolah-sekolah Cina antara lima tahun sehingga 40 tahun. Andrew Lee turut menyampaikan Anugerah Guru Cemerlang Luar Negara, satu penghargaan tertinggi kepada guru Bahasa Mandarin dan Pengetua Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan, Kho Guik Lan. Andrew semasa berucap pada majlis itu, mengatakan Kho Guik Lan dipilih atas dedikasi dan semangat serta pengajaran berkualiti Bahasa Mandarin dan budaya tradisional Cina yang disampaikannya.
Menurutnya lagi, para guru sentiasa dihormati di mana-mana sahaja dan mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para guru yang sentiasa berjasa memberikan pendidikan terbaik kepada anak murid.
