Saturday, July 6, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    27 individu guna, edar dadah berjaya ditahan

    TUTONG, 26 JUN – Seramai 27 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing berumur 16 hingga 65 tahun berjaya ditahan dalam Operasi Ursa Heal yang dijalankanoleh Biro Kawalan Narkotik (BKN), baru-baru ini.

    Operasi yang telah dilaksanakan sejak 16 Jun 2024 itu menumpukan kepada sekumpulan pengedar dan pengguna dadah di Rancangan Perumahan Negara Bukit Beruang, Daerah Tutong.

    Hasil daripada operasi berkenaan, BKN telah berjaya merampas sebanyak 75.29 gram (g) syabu dan 37.21g ganja. Dadah syabu yang dirampas itu dianggarkan bernilai lebih daripada $10,000 di pasaran tempatan dan boleh menampung sekurang-kurangnya 750 penagih dadah.

    Operasi tersebut turut merampas wang tunai sebanyak $3,652, SGD24, RM100 dan PESO500 yang dipercayai hasil daripada kegiatan pengedaran dadah, di samping alat perkakas untuk menyalahgunakan dadah dan alat-alat dipercayai digunakan bagi membungkus dadah seperti alat timbangan digital, gunting dan paket-paket lutsinar kosong.

    Para suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 3A, Akta Penyalahgunaan Dadah, Penggal 27 atas kesalahan memiliki dadah terkawal bagi tujuan mengedar, yang mana, jika sabit kesalahan dengan jumlah dadah yang dirampas, boleh membawa hukuman maksimum 20 tahun penjara dan 15 kali sebatan serta hukuman minimum lima tahun penjara dan lima kali sebatan.

    Suspek-suspek berkenaan merupakan pengedar dan pengguna dadah yang didapati masih lagi menjalankan kegiatan mengedar dan menyalahgunakan dadah secara berterusan walaupun pernah ditahan oleh BKN sebelum ini.

    Operasi berkenaan juga merupakan salah satu usaha BKN dalam mengekang kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah daripada terus berleluasa khususnya di kawasan perumahan negara dan sekitarnya.

    BKN ingin menegaskan bahawa pihaknya akan terus menjalankan amanah dan tugas-tugas pembanterasan dadah bagi mencegah jenayah dadah dari terus berkembang dan berleluasa termasuk di kawasan-kawasan perumahan.

    Pengedaran dadah merupakan jenayah yang perlu diberikan perhatian kerana ia boleh membantutkan perkembangan golongan para belia dan seterusnya menjejaskan keharmonian serta keutuhan masyarakat dan ketahanan negara.

    ATAS & BAWAH: Antara barang bukti yang dirampas semasa operasi berkenaan. – GAMBAR SERAHAN BKN
    GAMBAR SERAHAN BKN

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sidang Kemuncak SCO alu-alukan keahlian Belarus

    ASTANA, 5 JULAI – Sidang Kemuncak Majlis Ketua-ketua Negara Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) ke-24 yang berakhir kelmarin menyaksikan pencapaian luar biasa, termasuk penerimaan Deklarasi...