Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 NOV – Sebanyak 27 kes kecurian kabel dilaporkan sehingga November tahun ini, yang telah mengakibatkan kerosakan yang meluas dan kerugian kewangan untuk Unified National Networks Sdn Bhd (UNN).
Pihak Berkuasa bagi Industri Teknologi Info-Komunikasi Negara Brunei Darussalam (AITI) dan UNN, dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan hari ini menegaskan bahawa jenayah tersebut telah menyebabkan ketidakselesaan, menimbulkan risiko besar kepada keselamatan awam, mengganggu operasi kritikal dan kewangan urus niaga serta memberi kesan kepada aktiviti harian.
Akibat dari kecurian itu telah mengganggu ketersambungan untuk rumah dan perniagaan, termasuk sektor penting seperti perbankan dan perkhidmatan kecemasan, serta menjejaskan keselamatan dan kemudahan awam.
Sehingga kini, UNN telah merekodkan 244 kes kecurian atau kerosakan infrastruktur mengakibatkan lebih 8,000 jam gangguan perkhidmatan dan pada tahun 2024 sahaja telah mengganggu selama 1,044 jam, serta kos pembaikan melebihi $1 juta.
AITI dan UNN menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang gangguan disebabkan perkara itu, di samping meningkatkan pemahaman dan kewaspadaan boleh memacu tindakan kolektif ke arah pengukuhan daya tahan infrastruktur dan memastikan ketersambungan tanpa gangguan untuk semua masyarakat.
Di samping itu, AITI turut mengingatkan orang ramai terhadap undang-undang untuk melindungi infrastruktur telekomunikasi yang memastikan sambungan berterusan iaitu Perintah Telekomunikasi, 2001 mengandungi peruntukan yang berkaitan dengan menyebabkan kerosakan kepada infrastruktur telekomunikasi, pesalah jika disabitkan boleh didenda tidak melebihi $50,000, penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Jika kerosakan itu disebabkan oleh kerja tanah, ia akan menyebabkan kontraktor bertanggungjawab apabila disabitkan dengan denda tidak melebihi $1 juta, penjara tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, pelaku juga boleh bertanggungjawab untuk membayar pampasan bagi kerosakan yang berlaku.
Perintah Kanun Keseksaan (Pindaan), 2021, diperkenalkan untuk mengukuhkan perlindungan terhadap infrastruktur telekomunikasi terhadap kecurian, vandalisme dan aktiviti lain yang menyebabkan merosakkan atau mengganggu perkhidmatan utama.
Peruntukan pindaan ini menetapkan minimum hukuman penjara tiga tahun dan empat sebatan, dan maksimum hukuman penjara 10 tahun dan 12 sebatan.
AITI dan UNN menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan berkaitan kecurian kabel kepada Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dengan menghubungi talian 993.
Melindungi infrastruktur telekomunikasi adalah penting untuk mengekalkan ketersambungan yang lancar, memastikan keselamatan awam, dan menyokong negara perkhidmatan kritikal.