27 maut insiden lombong emas runtuh

KIGALI, RWANDA, 16 DIS – Sekurang-kurangnya 27 pelombong terbunuh apabila sebuah lombong emas runtuh di timur laut Republik Demokratik Congo, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik kenyataan pihak berkuasa kelmarin.

Nahas itu berlaku di kuari emas Ndiyo, kira-kira 40 kilometer (25 batu) dari Watsa, pekan utama dalam wilayah Upper-Uele, menurut Dieudonné Apasa, Menteri Perlombongan wilayah Haut-Uele.

Menteri berkenaan berkata nahas itu berlaku susulan tanah runtuh akibat hujan lebat yang berterusan.

“Pada mulanya, kami fikir ketidakpatuhan terhadap perundangan dan amalan larangan memasuki terowong menjadi punca nahas itu.

“Bagaimanapun, maklumat yang ada menunjukkan bahawa ia disebabkan keruntuhan. Mereka (pelombong) berada di kedalaman kurang 20 meter sedangkan had sah yang ditetapkan ialah 30 meter. Jadi punca utama ialah hujan lebat sejak kebelakangan ini,” Apasa dipetik sebagai berkata oleh laman sesawang Actualite.cd.

Mayat mangsa telah dikeluarkan dari kedalaman 12 meter di kuari itu dan dihantar ke pelbagai kawasan termasuk Watsa, Durba, Moku dan Ngangazo, katanya. Pihak berkuasa tempatan berkata angka kematian adalah berdasarkan satu penilaian sementara.

Nahas perlombongan sering berlaku di lombong haram di benua itu disebabkan oleh penggunaan peralatan asas dan kaedah kecil-kecilan yang tidak menjamin piawaian keselamatan.

Sekurang-kurangnya 16 orang maut selepas lombong emas Kampene di timur Congo runtuh pada Oktober. – Bernama

Beberapa orang penduduk tempatan ketika bekerja di perlombongan emas Makala di Mongbwalu, Republik Demokratik Congo. Sekurang-kurangnya 27 pelombong terbunuh apabila sebuah lombong emas runtuh di timur laut Republik Demokratik Congo. – AFP