TEGUCIGALPA, HONDURAS, 4 JULAI – Sekurang-kurangnya 27 nelayan maut dan sembilan lagi hilang selepas kapal yang dinaiki dilaporkan karam berhampiran sebuah pulau kecil, Cayo Gorda, Honduras semalam, kata anggota tentera negara.
AFP yang memetik jurucakap tentera, Jose Meza berkata, seramai 55 orang bagaimanapun terselamat dalam kejadian di wilayah Mosquitia itu.
Seramai 91 nelayan telah dilaporkan berada dalam kapal ‘Wallie’ yang memiliki berat 70 tan itu ketika kapal tersebut dalam perjalanan dari Cabo Gracias a Dios bagi menangkap udang kara selepas dilarang keluar ke laut akibat cuaca buruk.
Punca kejadian walau bagaimanapun masih belum dapat dipastikan.
Meza menambah bahawa mayat dan nelayan yang terselamat akan dibawa ke Puerto Lempira, bandar utama di timur Honduras.
Beberapa hari sebelum kejadian, terdapat sebuah lagi bot terlebih muatan yang karam di kawasan sama, namun kesemua 40 nelayan berjaya diselamatkan.
Sementara itu, ketua Marin Dagang Honduras, Juan Carlos Rivera memberitahu stesen televisyen HCH, laporan yang telah diterima masih belum lengkap, namun kes tersebut akan disiasat lebih terperinci untuk mencari punca sebenar kejadian itu bagi mengelakkan ia daripada terus berulang.
Menurutnya, pihak berkuasa sudah menggantung beberapa permit bot sehingga tiga tahun kepada pemilik yang membawa terlalu ramai nelayan di dalam kapal sehingga melebihi muatan. – AFP