ABUJA, 1 DIS – Kira-kira 27 maut dan lebih daripada 100, kebanyakannya wanita, dilaporkan hilang kelmarin selepas sebuah bot yang membawa mereka ke pasar makanan terbalik di Sungai Niger, utara Nigeria, menurut pihak berkuasa.
Bot tersebut membawa kira-kira 200 penumpang dari negeri Kogi ke negeri jiran, Niger, sebelum insiden berlaku, kata jurucakap Agensi Pengurusan Kecemasan Negeri Niger, Ibrahim Audu, kepada Associated Press.
Pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan 27 mayat dari sungai menjelang petang kelmarin, sementara penyelam tempatan masih mencari mangsa lain, menurut jurucakap perkhidmatan kecemasan negeri Kogi, Sandra Musa.
Bagaimanapun, tiada mangsa yang ditemui selamat selepas kira-kira 12 jam insiden berlaku, tambahnya.
Pihak berkuasa masih belum mengesahkan punca kejadian bot terbalik, tetapi media tempatan mencadangkan bahawa bot tersebut mungkin telah terlebih muatan. Masalah bot yang sesak adalah perkara biasa di kawasan terpencil Nigeria, di mana kekurangan jalan raya yang baik memaksa ramai penduduk menggunakan laluan air sebagai alternatif.
Menurut Justin Uwazuruonye, pegawai yang bertanggungjawab terhadap operasi Agensi Pengurusan Kecemasan Kebangsaan Nigeria di negeri tersebut, pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk mengenal pasti lokasi kejadian selama beberapa jam selepas tragedi itu berlaku kelmarin.
Kejadian maut seperti ini semakin membimbangkan di Nigeria, negara paling padat penduduk di Afrika, kerana pihak berkuasa menghadapi kesukaran untuk menguatkuasakan langkah keselamatan dan peraturan bagi pengangkutan air. – AP