Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Mac – Seramai 27 orang penulis telah menandatangani perjanjian dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penerbit bagi karya masing-masing berjumlah 31 buah buku meliputi bahan ilmiah, umum, sastera dan buku kanak-kanak pada Majlis Penandatanganan sempena Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca 2017, hari ini.
Majlis penandatanganan yang berlangsung di Ruang Legar, Dewan Serba Guna Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas itu telah dihadiri oleh Pengarah DBP, Hajah Sariani binti Haji Ishak selaku tetamu kehormat majlis yang turut menandatangani perjanjian bersama para penulis berkenaan.
Dalam ucapannya di majlis itu, Hajah Sariani berkata bahawa majlis penandatanganan perjanjian di antara penerbit dan penulis itu merupakan satu pengiktirafan dan sokongan berterusan DBP kepada para penulis di negara ini yang telah menyumbangkan sesuatu yang berharga iaitu perkongsian ilmu bermanfaat dan menguntungkan terutama bagi generasi akan dating.
Jelasnya, dasar penerbitan DBP tidak hanya memberikan tumpuan dalam bidang bahasa, sastera dan budaya sahaja, malah DBP juga bersedia menerima dan menerbitkan buku-buku daripada pelbagai multi disiplin ilmu yang lain misalnya penulisan yang berupa penemuan baharu seperti berbentuk penyelidikan dan kajian, penemuan sejarah, sains, kejuruteraan, perbankan Islam, seni bina dan reka bentuk, isu-isu yang bersifat sejagat atau penulisan tentang tokoh yang berwibawa.
Malah pihak jabatan sangat mengalu-alukan karya-karya mengandungi minda kelas pertama iaitu karya-karya menganjurkan ciri-ciri modal insan berpengetahuan mampu berdaya saing, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti dan memiliki kekuatan moral yang tinggi.

“Buku di negara ini bergerak aktif seiring dengan perkembangan ilmu dunia masa kini. Dengan cara ini, penulis akan dapat manfaatnya apabila proses penyelenggaraan penerbitan akan berjalan lancar dan mudah,” tambahnya.
Sebagai sebuah agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam dunia penerbitan, katanya, DBP akan sentiasa memperluaskan pembacanya melalui proses terjemahan agar karya yang dihasilkan tidak hanya terbatas pembacanya dalam kelompok tempatan sahaja, tetapi juga jauh menerjah melimpasi sempadan geografi.
“Sekurang-kurangnya khalayak di luar sana, mengetahui Brunei dan warisan budayanya.
“Saya percaya dengan perkongsian ilmu ini bakal melahirkan generasi baru yang berjaya dan mencintai ilmu serta dapat mewujudkan anak bangsa Brunei yang berkualiti dan cemerlang, agar kita dapat membangunkan sebuah masyarakat yang mempunyai nilai modal insan dalam menuju Wawasan Brunei 2035,” ujarnya.
Pada majlis itu, beliau menandatangani perjanjian bersama para penulis berkenaan bagi mewakili DBP. Pesta Buku Brunei dan Karnival Memperkasa Budaya Membaca (PPB dan KMBM) 2017 telah membuka tirainya pada 27 Februari lalu di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas di mana ia akan berlangsung selama 10 hari.
PPB dan KMBM yang disinergikan dengan Sambutan Hari Kebangsaan berkenaan membawa tema Raikan Buku Raikan Ilmu dengan berkonsepkan kesedaran pendidikan yang antara lain bertujuan untuk mencerdaskan bangsa. Pesta tahun ini menyediakan buku terdiri dari pelbagai jenis genre yang diterbitkan di negara ini atau yang di bawa dari luar negara menyajikan pengalaman ilmu yang pelbagai sekali gus boleh memberikan pengetahuan, membuka minda dan kepekaan kepada perkara baru dan sebagainya.
Pesta itu mengetengahkan 97 petak dengan 45 penyertaan termasuk sembilan penerbit kerajaan, 19 tokoh buku tempatan, dua syarikat komputer, 11 peserta dari luar negara termasuk Amiriah Arab Bersatu, Jordan, Kesultanan Oman, Malaysia, Indonesia dan Singapura.